Lanjutan dari Perutusan Penting 1 dan 2 : Untuk Semua Rakyat Dan Pemimpin UMNO Malaysia
Kekuasaan Allah
“Engkaulah (Allah) yang memberi kekuasaan (kerajaan) kepada siapa yang Engkau kehendaki dan menarik balik kekuasaan (kerajaan) daripada siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau juga yang memuliakan sesiapa saja yang Engkau kehendaki dan Engkau juga yang menghina siapa yang Engkau kehendaki. Di tanganMu-lah kebaikan itu.” (Ali Imran: 26)
Allah SWT yang memberi bekas pada mengadakan dan mentiadakan sesuatu. Allah SWT yang menghidupkan dan mematikan, mengkayakan dan memiskinkan, memuliakan dan menghinakan, menyihatkan, menyakitkan serta menyembuhkan, memberi kejayaan dan menggagalkan, menguatkan dan melemahkan, menjadikan pandai dan bodoh, memberi kemenangan dan mengalahkan. Selain dari Allah SWT, semua makhluk tiada kuasa. Kalau pun ada yang dinamakan kekuasaan milik makhluk, itu bukanlah kuasa mutlak. Kekuasaan makhluk itu sekadar yang diizinkan oleh Allah SWT. Hakikatnya, makhluk yang ada kuasa itu sebenarnya tidak memiliki sebarang kekuasaan. Allah SWT sudah menetapkan tiap-tiap sesuatu itu hanya terhasil dengan sebab atau peraturan. Sebab atau ketetapan atau peraturan terhasilnya sesuatu itu pula sudah ditentukan. Inilah yang dinamakan sunnatullah.
Allah SWT berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya kamu tidak akan mendapati apa yang disunnahkan Allah itu berubah. Sekali-kali kamu tidak akan mendapati apa yang telah disunnahkan oleh Allah itu bertukar ganti.” (Al Fathir: 43)
Ada kejadian yang terhasil tanpa sebab seperti Nabi Isa a.s dilahirkan tanpa bapa. Dan ada pula sebab yang tidak terhasil seperti api tidak membakar Nabi Ibrahim a.s. Kejadian itu menunjukkan bahawa Allah SWT mempunyai kuasa mutlak yang tidak terpaksa atau terikat dengan ketentuan atau sunnah-Nya. Ini supaya manusia dapat melihat betapa Allah SWT benar-benar berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. Dengan demikian juga agar hati manusia benar-benar berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.
Dengan demikian juga agar hati manusia benar-benar murni dari sebarang sangkaan bahawa usaha ikhtiar itulah yang membawa kejayaan atau hasil. Ini supaya manusia nampak bahawa biarpun terhasil sesuatu dari usaha ikhtiar namun Allah SWT berkuasa mengubah atau menarik balik kembali kejayaan tersebut pada bila-bila masa yang Allah SWT kehendaki.
Untuk memburu kejayaan atau terhasilnya sesuatu maka dituntut agar berusaha dan berikhtiar. Usaha ikhtiar itu merupakan satu perintah Allah SWT sebagai melahirkan sebab. Malah Allah SWT perintahkan pula usaha ikhtiar itu mesti dibuat bersungguh-sungguh dengan segenap tenaga dan keupayaan yang termampu. Manusia sememangnya diberi peluang seluas-luas ruang untuk memilih dan berusaha.
Usaha yang bersungguh-sungguh itu bukan sekadar dari sudut curahan tenaga semata-mata. Ia mestilah juga berserta dengan segala syarat atau memenuhi keperluan yang bersangkutan dengan hasil yang hendak dicapai. Atau menepati dengan peraturan sesuatu perkara itu. Sehingga dengan itu selari, sesuai dan bertepatan dengan ketentuan Allah SWT. Misalnya, kalau hendak memancing ikan mestilah ikut peraturan yang disunnahkan oleh Allah SWT. Umpan mestilah disesuaikan dengan jenis ikan. Saiz mata pancing dan kekuatan tali juga mesti sesuai dengan saiz ikan.
Seni-seni, teknik dan taktik yang sewajarnya perlulah juga diambil kira. Setelah segala peraturan bersangkutan dipenuhi sebaik, selengkap dan sesempurna mungkin, barulah terhasil sesuatu usaha ikhtiar yang hakikatnya adalah Allah SWT saja yang mengurniakan kejayaan. Contoh yang lain ialah ada kerja yang perlukan tenaga manusia dan jentera. Ada pula kerja yang hanya perlukan akal sahaja. Dan ada pula yang perlukan gabungan keduanya dan lain-lain lagi. Maka perlulah disediakan segala keperluan sebagai sebab bertepatan dengan hasil yang hendak dicapai.
Kini mari kita menyuluh pula dari aspek perjuangan menegakkan agama Allah SWT:
Pertama: Kita mesti dengan penuh kesedaran, faham dan kental keyakinan bahawa kemenangan dan kejayaan adalah di atas kehendak dan kekuasaan Allah SWT.
Kedua: Kemenangan dan kejayaan yang Allah SWT kurniakan itu adalah setelah segala syarat-syarat dan keperluan yang bersangkutan telah dipenuhi oleh umat Islam khususnya para pejuang.
Ketiga: Apakah usaha ikhtiar perjuangan itu sudah maksima? Golongan pejuang itu pula sudahkah sampai ke tahap layak bergelar mujahid di sisi Allah SWT? Sudah terbuktikah keikhlasan, kesabaran dan pengorbanan mereka?
Perlu diingat, agama Islam ini adalah hak milik Allah SWT. Maka Allah SWT jua yang berhak menentukan siapa di kalangan hambaNya yang benar-benar layak memikul amanah besar ini. Allah SWT memelihara kemurnian dan kemuliaan Islam daripada dicemari oleh orang-orang yang tidak layak. Kelak akan rosak maruah dan kemuliaan ajaran Islam di tangan orang-orang yang tidak layak ini. Sesungguhnya melalui orang-orang pilihan Allah SWT yang melaksanakan Islam dengan tepat dan benar akan terserlah keagungan dan ketinggian ajaran Islam.
Manusia bukan saja terpesona dengan ajaran Islam itu sendiri malah manusia akan tembus hatinya dapat melihat keagungan dan kehebatan Allah SWT. Oleh itu, sudah tentulah syaratsyarat mencapai kemenangan itu bukan mudah. Mujahid sejati dijanjikan dengan syurga. Besar pengorbanan yang diperlukan untuk membeli syurga Allah SWT itu. Manusia tidak campur tangan dalam menghasilkan sesuatu. Manusia hanya disyaratkan mesti menghadirkan sebab sahaja. Manusia tidak campurtangan membuat bayi dalam kandungan, menumbuh, membesarkan pokok hingga mengeluarkan buah, menyembuhkan penyakit, mengenyangkan perut, menghilangkan dahaga, membakar dan lain-lain lagi. Demikian jugalah umat tidak campurtangan dalam mencapai kejayaan dan kemenangan perjuangan Islam. Kekuasaan Allah SWT itu hanya apabila disebut “Jadi!”, maka, jadilah perkara itu. Apabila Allah kehendaki kejayaan dan kemenangan diberi kepada umat Islam, tiada satu kuasa pun yang dapat menghalang dan menahan dari berlaku.
Realiti yang sedang berlaku ialah tidak ada di kalangan umat ini yang benar-benar layak sebagai pejuang yang sangat dibantu oleh Allah SWT. Tidak ada pejuang yang dirinya sangat dinaungi, dibela dan dipandang oleh Allah SWT. Tidak ada peribadi yang mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Allah SWT. Manakala golongan yang kelihatannya gigih berjuang, bercakap dan berbuat sesuatu selaku pejuang, sayangnya tidak pula menempuh syarat atau sebab musabab yang mewajarkan memperoleh bantuan dan kemenangan dari Allah SWT.
Sekali lagi ditegaskan bahawa setiap sesuatu tertakluk kepada hukum sebab akibat atau dipanggil sunnatullah (ketentuan atau ketetapan Allah SWT). Hanya sebab-sebab yang tepat sahaja yang akan menghasilkan akibat (natijah) yang diharapkan. Tidak mungkin padi akan hidup di atas batu yang kering kontang. Jika mahukan kejayaan dan kemenangan umat tanpa berjuang adalah umpama mengharapkan ikan tanpa memancing, umpama mengharapkan anak tanpa berkahwin, umpama mengharapkan buah tanpa menanam pokok.
Terdapat pula yang mendakwa diri sebagai pejuang tetapi memilih laluan mudah yang tiada risiko, cabaran dan ujian. Andainya bertembung dengan kesusahan, kesulitan dan kepayahan, akan cuba dielak hingga tergadai segala prinsip dan matlamat sebagai pejuang. Ini ibarat orang yang menabur anak benih dan membiarkan tanpa mahu bersusah- payah menjaganya. Akibatnya, habis dimakan musuh. Bagi yang mahukan kejayaan umat tetapi berjuang sambil lewa atau mungkin ada yang gigih tetapi tidak menghadirkan sebab yang tepat, adalah umpama memancing tanpa umpan ataupun menggunakan tali halus untuk ikan bersaiz besar. Keadaan ini akan menyebabkan sama ada ikan mustahil diperolehi kerana tiada umpan atau tali putus kerana tidak setimpal dengan saiz ikan yang besar. Perjuangan untuk kejayaan umat ini bukan setaraf urusan memancing, mendapat anak, memburu ijazah, menanam pokok atau membina bangunan. Tentulah syaratsyarat dan keperluan sebagai sebab untuk Allah SWT berikan kejayaan itu jauh lebih rumit dan berliku.
Namun itu bukanlah pula dijadikan alasan untuk memilih jalan mudah dengan mencuba berbagai cara dan kaedah yang akhirnya bukan sahaja umat Islam terus gagal malah menjadi sia-sia kerana tidak menjadi ibadah.
Orang yang mencipta berbagai kaedah perjuangan
umat, mengadakan rekaan dan andaian dengan berbagai
pendapat, pandangan dan idea adalah umpama orang yang
cuba memancing tanpa umpan dan mata pancing. Ia samalah
seperti hendakkan anak tanpa berkahwin atau seperti
mahukan buah durian tetapi menanam pokok langsat.
Wajarlah hanya dalam tempoh 300 tahun selepas Rasulullah
SAW dianggap zaman terbaik, berjaya dan gemilang. Selepas
itu umat Islam mula pudar, merosot dan akhirnya
tewas. Ini kerana Allah SWT sudah tarik kekuatan umat
dan diganti dengan kelemahan. Ditarik kemuliaan, diganti
dengan kehinaan. Ditarik kemenangan, diganti dengan
kekalahan. Puncanya ialah umat Islam telah memilih sebabsebab
ke arah kehinaan, kelemahan, kegagalan dan kekalahan.
Secara umumnya punca kepudaran itu digambarkan
oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
Terjemahannya: “Sesungguhnya Allah, dengan kitab
ini (Al Quran) meninggikan darjat kaum-kaum
dan menjatuhkan darjat kaum yang lain.” (Riwayat
Muslim)
Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Arab yang
sebelumnya (zaman jahiliyah) adalah dalam keadaan hinadina,
porak-peranda, kacau-bilau, kegawatan sosial, penindasan,
penzaliman, berbunuhan dan berperang berkurun
lamanya, dalam tempoh yang singkat menjadi satu bangsa
yang mulia, hebat dan dominan. Berlanjutan pula sehingga
berkurun lamanya. Perubahan itu berlaku kerana Al Quran
yang dihidangkan oleh Rasulullah SAW menjadi pegangan.
Kini suara-suara kerinduan kepada kejayaan umat
kedengaran di mana-mana di seluruh pelosok dunia. Tambahan
pula dalam waktu yang sama seluruh ideologi dunia
sudah tenat. Bukan saja tidak berjaya menyelesaikan masaalah manusia, malah menjadi pencetus huru-hara.
Ideologi dunia kini ibarat matahari petang yang sinarnya sudah
tidak mampu untuk mengeringkan walaupun sekadar sehelai
sapu tangan. Ia hanya menunggu saat untuk terbenam.
Di satu pihak lain iaitu Islam, penganutnya masih meraba-
raba, tercari-cari kaedah untuk menyemarakkan bara
api Islam. Kaedah yang dibawa bukan saja bara api tidak
marak, malah kadang-kadang turut sama menyumbang
kepada padamnya bara yang baru hendak menyala itu.
Namun yakinlah bahawa ini adalah zaman kebangkitan Islam yang tidak dapat dibendung. Allah SWT akan muliakan umat Islam di akhir zaman ini seperti yang dijanjikan. Dengan syarat umat Islam benar-benar berada di garisan yang betul dan layak mendapat bantuan Allah SWT.
Namun yakinlah bahawa ini adalah zaman kebangkitan Islam yang tidak dapat dibendung. Allah SWT akan muliakan umat Islam di akhir zaman ini seperti yang dijanjikan. Dengan syarat umat Islam benar-benar berada di garisan yang betul dan layak mendapat bantuan Allah SWT.