IDENTITI AL HASYIMI
BAB 1 Siapakah Al Hasyimi?
BAB 2 Ciri Fizikal Al Hasyimi
BAB 3 Hubungan Al-Hasyimi dengan Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim
BAB 4 Al Hasyimi merupakan ahlulbait
BAB 5 Al Hasyimi merupakan salah seorang Al Mahdi
BAB 6 Gelaran Al Hasyimi
BAB 7 Tanda-tanda Kemunculan Al Hasyimi
BAB 1 Siapakah Al Hasyimi?
Sebuah hadis meriwayatkan tentang Al- Hasyimi
“Panji-panji Hitam keluar dan menyerang as-Sufyani. Di tengah-tengah pasukan itu adalah Pemuda dari Bani Hasyim yang di tangan kirinya berkibar bendera pasukan, manakala di hadapannya adalah Syuaib bin Saleh at-Tamimi.”
Menurut hadis di atas, Al-Hasyimi merupakan pemegang panji-panji hitam. Panji-panji hitam adalah simbolik kepada jemaah/pasukan Imam Mahdi. Panji-panji hitam dalam sejarah merupakan bendera yang digunakan pasukan Rasulullah saw semasa memerangi kaum kuffar. Pada panji-panji hitam tertulis kalimah La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah. Panji-panji ini tidak kelihatan lagi sesudah zaman para sahabat ra.
Panji-panji hitam adalah simbol bagi Jemaah Imam Mahdi. Asalnya ia dipegang oleh Pemuda Bani Tamim yang digelar Syuaib Bin Saleh. Sebenarnya Al-Hasyimi adalah salah seorang pengikut Pemuda Bani Tamim. Hadis menyebut “dihadapannya ialah Syuaib Bin Saleh” menunjukkan bahawa Pemuda Bani Tamim merupakan pemimpin kepada Al-Hasyimi.
Al-Hasyimi dikatakan sebagai pemuda dari Bani Hasyim. Bani Hasyim merupakan kabilah arab yang paling dihormati dikalangan masyarakat Arab Jahiliyah. Nabi kita Muhammad saw merupakan ahli keluarga Bani Hasyim. Jadi Al-Hasyimi merupakan keturunan orang yang mulia yang bersangkut paut dengan Nabi Muhammad saw. Al-Hasyimi sudah pasti merupakan orang terpilih yang lahir dari keturunan yang mulia.
BAB 2 Ciri Fizikal Al Hasyimi
Said Abu Uthman telah meriwayatkan kepada kami dari Jabir dari Abi Jaa’far Ra katanya
“Akan keluar seorang pemuda dari Bani Hasyim, ditapak tangan kanannya ada tahi lalat dari Khurasan bersama-sama dengan panji panji hitam, bersamanya juga ada Syuaib bin Soleh. Dia memerangi golongan As Sufyani dan mengalahkan mereka”
Al Walid dan Rusydain telah meriwayatkan kepada kami dari Ibni Lahia’h dari Abi Qubail dari Abi Rauman dari Ali Kwj katanya
“Akan keluar panji-panji hitam memerangi golongan As Sufyani, dikalangan mereka ada seorang lelaki dari Bani Hasyim yang mempunyai tahi lalat pada bahu kirinya, mereka dipimpin oleh seorang lelaki dari Bani Tamim yang digelar Syuaib bin Soleh, mereka akan mengalahkan golongan As Sufyani”
Imam Sayuti telah meriwayatkan dari Saidina Ali Kwj katanya
“Akan keluar panji-panji hitam memerangi golongan As Sufyani, padanya ada seorang pemuda dari Bani Hasyim yang ditapak tangan kirinya ada tahi lalat, yang dipimpin oleh seorang lelaki dari Bani Tamim yang digelar syuaib bin Soleh, mereka mengalahkan golongan As Sufyani”
Hadis pertama menceritakan bahawa Al-Hasyimi mempunyai tahi lalat di tapak tangan kanannya mempunyai tahi lalat. Hadis ini sampai sanadnya kepada Jabir dari Abi Jaa’far Ra. Hadis ketiga yang bersanad dari Saidina Ali kwj menyebut bahawa tahi lalat tersebut berada di tapak tangan kirinya. Hadis-hadis ini mungkin kelihatan bercanggah. Kemungkinan Al-Hasyimi mempunyai tahi lalat di kedua-dua tapak tangan tetapi yang pasti tahi lalat di tapak tangan merupakan ciri khas Al-Hasyimi.
Hadis kedua yang bersumber dari Saidina Ali kwj pula menyebut ciri lain pada Al-Hasyimi iaitu tahi lalat di bahu kirinya. Jadi sumber dari saidina Ali kwj menyebutkan bahawa Al-Hasyimi mempunyai tahi lalat di bahu kiri dan tapak tangan kiri. Ciri ini merupakan penanda yang membuktikan sesiapa yang mengaku dirinya Pemuda Bani Hasyim mestilah mempunyai penanda ini untuk membuktikan kebenarannya.
Namun ketiga-tiga hadis ini membenarkan bahawa Al-Hasyimi dipimpin oleh Pemuda Bani Tamim menentang As-Sufyani.
BAB 3 Hubungan Al-Hasyimi dengan Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim
“Telah sampai kepada aku bahawa Al Hasyimi adalah saudara sebapa dengan Imam Mahdi, kata sebahagian ulamak, dia anak saudara Imam Mahdi dan kata sebahagian yang lain, dia tidak mati tetapi berundur ke Mekah setelah kekalahan itu, bila muncul Imam Mahdi dia keluar semula”
Sebuah hadis yang lain menyebut
“Kemudian secara diam-diam At-Tamimi (Pemuda Bani Tamim) menuju ke Baitulmaqdis. Dalam perjalanannya menuju ke Syam, dia menyerahkan jemaahnya kepada Al-Hasyimi. Ketika itu At-Tamimi berkata (kepada Al-Hasyimi), “Wahai anak bapa saudaraku, al-Mahdi akan berada di Makkah setelah kota Madinah runtuh.” Kemudian jika Al-Mahdi muncul, maka Al-Hasyimi juga muncul.”
Hadis pertama menunjukkan Al-Hasyimi merupakan ahli keluarga Imam Mahdi itu sendiri. Al-Hasyimi bersaudara dengan Imam Mahdi di sebelah bapa. Hubungan persaudaraan ini kurang jelas samada mereka merupakan satu generasi atau berbeza generasi. Al-Walid menyatakan bahawa Al-Hasyimi merupakan satu generasi manakala dia mengetahui ulamak lain mengatakan bahawa Al-Hasyimi berbeza generasi.
Istilah saudara merupakan sesuatu yang abstrak. Dalam bahasa Arab ‘saudara’ boleh dipakai untuk adik-beradik, sepupu, dan anak saudara dan ke bawah. Sama seperti perkataan ‘bapa’ yang boleh merujuk kepada bapa kandung, pak cik juga datuk dan moyang. Yang pasti hubungan persaudaraan Al-Hasyimi dan Imam Mahdi bersambung pada sebelah bapa.
Hadis kedua menceritakan bahawa Imam Mahdi, Pemuda Bani Tamim dan Al-Hasyimi merupakan saudara. Pemuda Bani Tamim memanggil Al-Hasyimi sebagai ‘anak bapa saudaraku’. Jadi Pemuda Bani Tamim boleh jadi merupakan sepupu Al-Hasyimi. Namun istilah ‘anak’ dalam bahasa arab juga abstrak kerana ia boleh merujuk kepada anak, cucu, cicit dan sebagainya. Kaum Yahudi sendiri digelar ‘anak-anak israel’ walaupun mereka bukan anak nabi yaakub (Israel). manusia dipanggil ‘anak-anak Adam’ walaupun kita bukan anak kandung Adam. Apa yang penting ialah Imam Mahdi, Pemuda Bani Tamim dan Al-Hasyimi mempunyai tali persaudaraan.
BAB 4 Al Hasyimi merupakan ahlulbait
“Sebelum al-Mahdi muncul, akan ada seorang lelaki dari keturunan Nabi SAW keluar dari Timur, sambil menyandang pedang di bahunya selama 18 tahun. Dia membunuh, mengamuk dan(seterusnya) menuju ke Baitulmaqdis. Namun dia mati sebelum sampai ke sana.”
Atsar lain menyatakan
“Sebelum al-Mahdi (muncul), al-Hasyimi keluar untuk berperang selama 18 bulan. Dia akan menuju Baitulmaqdis tetapi tidak sampai ke sana”
Abdullah bin Amrwan telah meriwayatkan kepada kami dari Al Haitsam bin Abdul Rahman daripada orang yang menceritakan kepadanya dari Saidina Ali bin Abi Thalib RA katanya
“Akan keluar seorang lelaki sebelum Imam Mahdi dari ahli keluarganya di Timur, dia memikul pedang di atas bahunya selama lapan bulan, dia berjuang dan menuju ke Baitul Maqdis tetapi dia meninggal dunia sebelum sampai ke Baitul Maqdis”
Dalam atsar pertama tidak disebut siapa keturunan Nabi saw yang mengamuk namun meninggal sebelum sampai ke Baitul Maqdis. Atsar kedua memyebutkan bahawa Al-Hasyimi merupakan orang yang keluar berperang. ‘Menyandangkan pedang di bahu’, ‘membunuh’, dan ‘mengamuk’ lebih kepada ayat alternatif berkenaan perang. Atsar dari Saidina Ali menyebut tentang lelaki dari ahli keluarga Imam Mahdi yang keluar berperang. Lelaki dimaksudkan layak ditujukan kepada Al-Hasyimi kerana beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan Imam Mahdi.
Tiada hadis merekodkan hubungan kekeluargaan antara Pemuda Bani Tamim dengan Imam Mahdi secara langsung. Ketiga-tiga Atsar bersetuju bahawa lelaki yang berperang mestilah mati sebelum sampai di Baitul Maqdis. Atsar kedua menjelaskan bahawa yang mati sebelum tiba di Baitul Maqdis ialah Al-Hasyimi. Jadi boleh disimpulkan bahawa Al-Haysimi merupakan ahlul bait nabi saw.
Semua sedia maklum bahawa Imam Mahdi merupakan keturunan baginda saw. Jika Al-Hasyimi bersaudara dengan Imam Mahdi di sebelah bapa maka sudah tentu Al-Hasyimi merupakan keturunan Baginda Rasulullah saw.
Soal percanggahan tempoh berperang bukan rumit. Mungkin Lapan bulan merupakan tempoh berperang di sesuatu tempat, Lapan belas bulan di tempat lain. Lapan belas tahun mungkin jumlah tempoh peperangan yang ditempuh Al-Hasyimi.
BAB 5 Al Hasyimi merupakan salah seorang Al Mahdi
Ibnu Munadi berkata bahawa
"Dalam kitab Nabi Daniel (as), dilaporkan bahawa," As-Sufyani ada tiga dan Imam Mahdi ada tiga. Apabila As-Sufyani pertama muncul dan nama serta kemasyhuran menjadi meluas, Imam Mahdi pertama akan berhadapan dengan dia, Imam Mahdi kedua akan menghadapi As-Sufyani kedua dan Iman Mahdi ketiga akan menghadapi As-Sufyani ketiga dan Allah swt, akan menghantar dia (Imam Mahdi ketiga ) untuk menyelamatkan orang-orang yang telah mengalami kerosakan, dan orang-orang yang beriman. Sunnah akan dihidupkan semula melalui beliau dan penindasan, ketidakadilan dan kezaliman akan berakhir melalui beliau. Manusia akan dihargai dan mereka menang atas lawan-lawan mereka pada masa beliau. Satu kehidupan yang indah akanberlaku, dan Bumi dan Langit akan menjadi lebih berkah"
Atsar lain dalam kitab Al Fitan karya Imam Nuaim Bin Hammad rh meriwayatkan
Dari Abu Mughairah dan Baqyah dari Sofwan dari Kaab ra:
“Al Mansur adalah (salah seorang) Mahdi yang disenangi penduduk langit dan penduduk serta burung-burung di bumi. Dia akan memenangi peperangan dengan Rom dan perang selama 20 tahun. Beliau akan syahid dalam perang besar bersama 2000 orang yang merupakan putera dan komander perang. Umat tidak pernah mengalami kesedihan lebih besar sesudah kewafatan baginda Rasulullah saw”
Selain atsar di atas dalam kitab Al Fitan karya Imam Nuaim Bin Hammad rh tersebut
Rashdin dari Ibnu Lahi'a dari Abi Qabil dari Abdullah bin Umro berkata:
“ Selepas Imam Mahdi yang akan mengambil orang-orang Yaman ke bandar-bandar mereka, selepasnya ialah Al-Mansur, dan kemudian selepas dia Mahdi yang akan membuka kota Rom oleh tangannya”
Imam Mahdi bukan satu-satunya orang yang digelar dengan panggilan Al Mahdi. Al Mansur atau Putera Bani Tamim juga merupakan Al Mahdi. Atsar menceritakan bahawa akan ada tiga Al Mahdi yang akan muncul di mana Al Mansur merupakan Al Mahdi. Al Mahdi bermaksud orang yang mendapat petunjuk. Al Mahdi sebenarnya adalah gelaran kepada orang yang mendapat pimpinan ghaib terutamanya oleh roh Rasulullah saw
Yaman yang dimaksudkan bukan Yaman yang ada di tenggara Arab Saudi sekarang tapi bermaksud Nusantara yang disebut-sebut hujung timur. Berbetulan arah Nusantara berada tepat dengan penjuru Yaman pada Kaabah. Imam Mahdi yang mengambil orang Yaman ke bandar-bandar mereka dimaksudkan ialah Al Hasyimi. Al Hasyimi akan dibaiat penduduk Nusantara dan akan memipin mereka menentang As-Sufyani sebelum Al Mansur atau Putera Bani Tamim mengambil alih.
Di bawah kepimpinan Al Mansur, beberapa siri peperangan berlaku antara pasukan Panji Hitam dan Pasukan As Sufyani. Kemuncaknya ialah kemunculan Imam Mahdi Al Muntazar yang ditunggu-tungu itu. Setelah kemunculan Imam Mahdi, kekuasaan akan diserahkan kepada Imam Mahdi yang akan memimpin pasukan Panji Hitam sehingga penaklukan Konstantinople atau Rom.
BAB 6 Gelaran Al Hasyimi
Sebuah Atsar meriwayatkan
Abdullah Ibnu Abbas ra berkata kepada Mujahid:
'Jika aku tidak mendengar yang kamu mencintai ahlul bait aku tidak akan menceritakan perkara ini kepadamu' Mujahid berkata:'Aku akan simpan rahsia ini, aku tidak akan memberitahu sesiapa pun yang kamu benci' Maka Abdullah bin Abbas pun berkata: 'Ada 4 orang dari Ahlul bait, dari kami Al Saffah, dari kami Al Munzir, dari kami Al Mansur, dari kami Al Mahdi' Mujahid berkata: 'Terangkan padaku' Ibnu Abbas menjawab: Al Saffah, dia akan membunuh para pengikutnya dan memaafkan musuh-musuhnya. Al Munzir menyerahkan kekayaan kepada orang, bersifat zuhud dan hanya mengambil sedikit untuk keperluan. Al Mansur akan diberi kemenangan ke atas musuh dan diberi sebahagian dari apa yang diberi kepada rasulullah saw yakni bagi baginda saw, musuh akan ketakutan dua bulan sebelum berhadapan dengan baginda. bagi Al Mansur, musuh akan ketakutan sebulan sebelum berhadapan dengannya. Al Mahdi akan memenuhi dunia dengan keadilan sepertimana dunia dipenuhi dengan kezaliman. Musang dan ternakan akan tinggal bersama secara aman. Bumi akan mengeluarkan harta yang tersembunyi kelihatan seperti rod emas atau perak.
dalam atsar yang lain Ibnu Abbas berkata:
'Dari kami Al Saffah, Al Mansur dan Al Mahdi yang akan menyerahkan kekuasaannya kepada Nabi Isa Ibnu Maryam as
Juga dalam hadis Khabar Al Khatib dari Ibnu Abbas ibunya Ummu Fadhl. Rasulullah saw bersabda:
'Wahai Abbas, dikau bapa saudaraku dan kembar bapaku dan kaulah sebaik-baik pengganti selepasku. Apabila datang tahun 153 maka itu tahun buatmu dan keturunanmu antaranya ialah Al Saffah, Al Mansur dan Al Mahdi'
dalam hadis dari Abu Muawiyah dari Al A'mash dari 'Atiyyah dari Abu Said Al Khudri Ra Rasulullah saw bersabda:
'akan muncul seorang lelaki dari ahlulbaitku antara masa sekarang dan kemunculan fitnah, pemberian darinya adalah menyeluruh, dia dikatakan bernama Al Saffah'
As Saffah dikaitkan bersama Al Mansur (Putra Bani Tamim) dan Al Mahdi. Al Saffah merupakan gelaran Al Hasyimi kerana hanya Al Hasyimi yang dikaitkan dengan Imam Mahdi dan Putra Bani Tamim. Al Saffah yang bermaksud si pembunuh sesuai dengan ciri-ciri Al Hasyimi yang disebut dalam hadis-hadis yakni mengamuk, berperang dan memikul pedang di bahunya.
Beliau juga dikatakan membunuh pengikutnya yang bermaksud dia akan membunuh hawa nafsu sesiapa yang mahu mengikutinya. Tiada siapa yang akan ikut beliau melainkan dengan hati yang bersih. Dalam kata lain di tangannya berlaku tapisan kepada pasukan panji hitam. Juga dimaksudkan dia membunuh godaan pujuk rayu pengikut yang mahu mengagung-agungkannya. Bahkan seringkali beliau membunuh hasrat pengikutnya yang mahukan pangkat dan kekayaan.
Beliau memaafkan musuh-musuhnya kerana pemaafnya beliau. Beliau mempunyai ramai musuh kerana dia membawa kebenaran. Juga musuh-musuh dalam selimut yang mahu menjatuhkannya. Namun beliau tidak suka membenci orang lain dan sangat mudah memaafkan orang lain walaupun musuh-musuhnya.
Walaupun Gelaran As Saffah bunyinya tidak enak didengar semua atsar dan hadis menyebut bahawa As Saffah adalah dari pihak kebenaran dan bukan pihak kejahatan. Bahkan hadis keempat menyebut tentang pemberian As Saffah yang menyeluruh disaat fitnah melanda dan baginda saw menyatakan bahawa beliau adalah ahlulbait baginda saw. Al Munzir dalam atsar mungkin merujuk kepada Haris Harras.
BAB 7 Tanda-tanda Kemunculan Al Hasyimi
Dalam hadis dari Nu'aim ibn Hammad dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ali r.a. beliau berkata:
"Akan berlaku fitnah di mana manusia akan memperolehi hasil daripadanya sepertimana ia memperolehi emas yang ada di lombongnya, maka janganlah kamu mencerca penduduk Syam tetapi cercalah kezaliman mereka, kerana sesungguhnya pada mereka itu terdapat Abdal, dan Allah akan mengutus ke atas mereka hujan dari langit lalu menenggelamkan mereka sehinggakan sekiranya mereka memerangi serigala serigala mereka akan menewaskannya. Kemudian Allah akan mengutus di waktu itu seorang lelaki dari keturunan Rasulullah SAW bersama 12,000 orang jika sedikit, dan 15,000 orang jika banyak, tanda tanda mereka "amit amit" (maut maut) di bawah tiga bandera lalu mereka itu memerangi pasukan tujuh bandera tidak seorang pun di kalangan mereka yang memimpin bandera itu melainkan kesemuanya tamakkan kerajaan (kuasa), mereka pun berjuang dan tewas (atau menang), kemudian zahirlah Al Hasyimi (Pemuda Bani Hasyim) lalu Allah mengembalikan kepada manusia kesenangan hidup mereka sehinggalah Allah mengeluarkan Dajjal."
Kemunculan Al-Hasyimi ditandai oleh beberapa peristiwa;
- Fitnah menjadi bahan mengaut keuntungan
- Banjir di negeri Syam
- Munculnya pemimpin ahlulbait di bawah 3 bendera menentang pasukan musuh dibawah 7 bendera. Bilangan pasukan pemimpin ahlulbait ini paling sedikit 12 000 orang dan paling banyak 15 000 orang melawan musuh yang tamak kuasa. Tanda pasukan pemimpin ahlulbait ini ialah maut bagi penentangnya.
Setelah muncul Al-Hasyimi barulah dunia kembali aman sehingga datang Dajjal laknatullah. Maksudnya oleh kerana Al-Hasyimi menjadi pendahulu Imam Mahdi dan Putera Bani Tamim maka tahun keamanan dihitung bermula dari tahun kemunculan Al-Hasyimi. Tahun keamanan ini sekitar 7-9 tahun sebelum Dajjal laknatullah muncul.
Kebiasaannya nubuwat rasul dan para sahabat itu kadang-kadang tidak menyebut satu atau lebih peristiwa dalam kronologi sesuai dengan situasi zaman tersebut para sahabat sangat mengetahui kronologi kejadian di akhir zaman. Jadi bila sahabat bercerita kita perlu menganggap bahawa pendengar pertama sangat mengetahu kejadian sebenar menurut kronologi.