World Royal VIP Community

Love and Care ... The Key To Universal Of Unity . Memertabatkan Malaysia ke Pentas Dunia.

Welcome

Berita-berita Semasa

Perutusan Penting 4 : Untuk Semua Rakyat Dan Pemimpin UMNO Malaysia

Membaiki Diri

Kekuatan Iman - Akar Tunjang



Allah SWT berfirman:



Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

(Ar-Ra'd 13:11) |


Semua makhluk memang sifatnya sentiasa dan mudah berubah, termasuk manusia. Pada diri manusia pula ada dua juzuk yang sifatnya benar-benar berubah dan membawa kepada perubahan iaitu hati (roh) dan akal (mental). Anggota lain pula walaupun sifatnya berubah juga tetapi tidak berlaku perubahan mutlak, umpamanya perut boleh buncit atau kempis. Otot-otot boleh menjadi keras, pejal atau lembik. Tetapi perubahan itu tidak menukar perut atau otot-otot kepada sesuatu benda lain.

Allah SWT menjanjikan perubahan kepada mana-mana kaum yang terlebih dulu mengubah apa yang ada dalam diri kaum itu iaitu hati (roh). Allah SWT menjanjikan kejayaan dan keagungan kepada umat Islam apabila bersungguh- sungguh membuat perubahan pada hati (roh). Maka perubahan yang terpokok, utama dan yang terpenting ialah membaiki diri iaitu hati. Membaiki diri atau hati itu ialah agar bertambah hampir atau dekat dengan Allah SWT dan sekaligus menjauhi atau memusnahkan segala kekejian (mazmumah) diri hingga benar-benar terbakar hangus dan musnah hingga tiada lagi saki-bakinya yang tertinggal pada diri seseorang.

Untuk membakar hangus segala mazmumah itulah maka perlu memiliki rasa kehambaan yang sangat kuat dan mendalam. Di antaranya rasa takut, malu, cemas, bimbang, hina diri, lemah, dhaif, serba kekurangan, tiada upaya, gementar, gerun, rasa berdosa, rasa bersalah, rasa cuai dan lalai, banyak cacat cela dan sebagainya. Kesan dari rasa kehambaan inilah hati (roh) akan terhindar dari rasa ketuanan seperti sombong, riyak, sum’ah, pemarah, hasad, tamak, bakhil, ego, dendam dan lain-lain. Oleh itu tajam dan suburnya rasa kehambaan itu perlu dimiliki setiap masa dan di mana jua.

Serentak dengan itu mesti pula memiliki rasa berTuhan yang benar-benar dihayati dan sebati, terbenam di hati nurani. Rasa itu perlu melekat dan mencengkam di hati. Rasa-rasa itu seperti merasai Allah SWT Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mengetahui, Maha Mendengar, Maha Melihat dan sebagainya. Manifestasi dari rasa ber- Tuhan ini maka subur segala sifat terpuji atau mahmudah seperti sabar, redha, tawakkal, ikhlas, pemurah, kasih sayang, muraqabah, jiwanya sentiasa hidup dan bersemangat, pengorbanannya luar biasa, kegigihannya luar biasa, kebaikan dan kebajikannya banyak. Hati terlalu sensitif dengan Tuhan.

Rasa berTuhan ini menjadi benteng kukuh daripada dosa, maksiat dan mungkar. Dosa dibencinya, terbuat dosa resah jiwanya dan segera memohon ampun. Biar bagaimana keadaan mereka, tidak lalai atau hanyut oleh harta benda, pangkat, nama dan lain-lain. Mereka tiada sebarang kepentingan diri. Seluruh hidupnya dan apa yang dimiliki hanya untuk Allah SWT.

Rasa kehambaan dan berTuhan inilah anak kunci kepada datangnya perubahan yang Allah SWT janjikan itu. Inilah anak kunci yang mengundang kepada pertolongan dan bantuan dari Allah SWT.

Di sinilah terletaknya keunikan dan keistimewaan perjuangan Islam yang hak, di sepanjang sejarah. Bilangannya sedikit, kelengkapannya kurang namun memperolehi kemenangan. Kemenangan pula bukan berlaku setelah pihak musuh punah ranah, bukan setelah runtuh musnah segala bangunan, bukan setelah ramainya orang mati termasuk orang yang tidak berdosa. Kemenangan diperolehi setelah bersungguh-sungguh membaiki diri hingga Allah SWT redha kepada mereka dan Allah SWT redha kepada segala urusan mereka.

Siang hari para pejuang Islam yang hak bekerja bak singa, malamnya merintih sayu umpama rahib. Peribadinya menjadi contoh ikutan, rumahtangganya menjadi pusat motivasi yang menyuburkan jiwa dan akal. Harta bendanya hanya singgah di tangan dan tidak sempat masuk ke hati. Sepanjang zaman, siapa pun dan di mana sahaja di bumi Allah SWT ini kekuatan asas bagi pejuang Islam tidak pernah dan tidak akan berubah. Membaiki diri, keimanan, ketaqwaan, perpaduan dan kepimpinan adalah paling utama, terpokok dan terpenting untuk memperolehi kemenangan dan mencapai keagungan umat. Maka perkaraperkara tersebut wajib dimiliki tanpa berdolak dalik.

Manakala kekuatan tambahan pula boleh berubah mengikut keadaan, tempat, zaman dan keperluan. Sifat kekuatan tambahan itu hanya akan menjadi punca kekuatan setelah memiliki kekuatan asas. Tanpa kekuatan asas, pelengkap atau alat ini tidak berfungsi sebagai menambah kekuatan. Malah selain tidak berfungsi kadang-kadang membawa kesan negatif yang menyusahkan.

Lihat sahaja realiti umat Islam merata dunia. Saban masa sibuk dengan urusan ekonomi, politik, kekayaan, harta benda, kemajuan, pembangunan, ilmu pengetahuan atau penguasaan teknologi. Bukan sahaja tidak menjadi alat untuk membawa Islam kepada keagungan, sebaliknya menjadi punca derhaka kepada Allah SWT, lalai dari agama serta lupa akhirat. Ditambah pula dengan tercetusnya berbagai krisis, penzaliman, penindasan, jatuh menjatuh, bermusuhan malah peperangan.

Kupasan dalam buku ini tidak menyentuh mengenai kekuatan tambahan dan bagaimana ianya berfungsi sebagai alat melancarkan dan melajukan perjuangan Islam. Ini bukan bererti menolak kemajuan dan tamadun, tetapi ingin memberi penekanan agar umat Islam dapat melihat dan memahami betapa terlalu amat penting memiliki kekuatan asas. Lebih-lebih lagi amat dikesalkan dan menyedihkan apabila selama ini aspek kekuatan asas sangat terpinggir, terabai dan tidak dipedulikan. Malah ada yang sampai ke tahap memperleceh, meremehkan justeru itu lantas menolaknya.

Islam adalah agama Allah SWT, milik Allah SWT. Orang yang benar-benar tepat landasan perjuangannya maka berhak pula dibela, dibantu dan dimenangkan oleh Allah SWT. Allah SWT berperanan bagi pihak pejuang kebenaran dalam menumpaskan musuh. Kerana memusuhi kebenaran bererti memusuhi Allah SWT. Bersungguh-sungguhlah memiliki kekuatan asas serta yakin akan janji Allah SWT, nescaya akan dapat melihat bagaimana Allah SWT memenangkan pejuang kebenaran.



Kekuatan Iman - Akar Tunjang


Layakkah seorang yang hanya sekadar tahu mengenai raja dan dirinya bukan petugas istana mengajak orang lain menemui raja dan menginap di istana? Demikianlah kedudukannya, tidak layak seorang yang hanya tahu tentang Allah SWT dan tidak mahu mengamalkan Islam menjadi pejuang Islam. Memperjuangkan Islam ertinya mengajak manusia kepada mengenal Allah SWT. Mentaati, mengabdi dan menyerah diri kepada Allah SWT serta mengamalkan keseluruhan ajaran Islam.

Tiada siapa yang hatinya teringin untuk menuruti pelawaan ke istana kerana orang itu tidak berkelayakan dan tiada ‘authority’. Malah timbul pula keraguan apakah orang itu benar-benar membawa ke istana atau boleh jadi dia seorang pembohong yang boleh menjerumuskan ke gaung yang dalam. Tiada identiti atau tanda-tanda bahawa orang itu petugas istana.

Orang yang hanya tahu mengenai Allah SWT serta rukun iman yang lainnya, sekadar berada di kategori iman yang sah. Tetapi tidak terjamin selamat dari kederhakaan, kemungkaran dan kemaksiatan. Andainya Allah SWT tidak ampunkan, nescaya dia terjun ke neraka terlebih dahulu. Keimanan taraf itu belum mencapai tahap ‘orang Allah SWT’. Hatinya lalai, tidak terpaut dan tidak bertaut dengan Allah SWT. Ibarat orang yang tahu gula itu manis tetapi tidak pernah memakan gula. Orang yang hanya tahu segala sifat-sifat Allah SWT berdasarkan ilmu yang dipelajarinya tetapi tidak merasai di hati tentang sifat-sifat Allah SWT itu. Tauhidnya sekadar berlegar di dalam akal fikirannya dan tidak di hati. Maka itulah yang dikatakan iman ilmu. Orang yang imannya bertaraf iman ilmu sekadar berfikiran tauhid, belum berjiwa tauhid.

Hatinya lalai, nafsunya rakus, ibadahnya cuai dan tiada kelazatan. Syariatnya longgar, akhlaknya rosak. Keperibadian Islamnya kurang meyakinkan. Penampilan dirinya, gerak-gerinya, tingkah-lakunya, percakapannya, pemikirannya tidak menggambarkan keindahan Islam. Rumahtangganya tidak terpimpin dan tidak wujud suasana sebuah keluarga Islam. Kebahagiaan hidup tidak diperolehi sepenuhnya. Masih terasa sedap dengan maksiat. Sekali-sekala insaf dan sedar kerana ilmunya masih menyuluh dan dia tahu maksiat itu berdosa dan mendatangkan kemurkaan Allah SWT yang balasannya adalah Neraka. Namun apabila berhadapan dengan ujian, cubaan dan tarikan kemaksiatan, masih ada kemahuan untuk melawan tetapi seringkali tumpas dan kecundang.

Ilmu Islamnya bersarang di akal. Dia tahu halal dan haram. Tetapi bila bertembung dua keadaan antara tuntutan Tuhan dan kepentingan duniawi, nescaya terdorong untuk memilih kepentingan duniawinya. Ini adalah kerana dia tidak merasa takut kepada Allah SWT dan terlupa terhadap azab akhirat. Longgarnya syariat bukan kerana tidak tahu tetapi kerana tiada sepenuh kerelaan, pengabdian dan perhambaan kepada Allah SWT. Dia masih di peringkat terpaksa dan sering pula ada helah dan hujah untuk membenarkan pelanggaran syariat.

Demikianlah sedikit gambaran orang yang jarangjarang sekali hatinya dengan Allah SWT serta tidak benarbenar berpegang kepada syariat Islam. Dan inilah juga gambaran yang mewakili majoriti umat Islam seluruh dunia. Umat yang berjiwa lemah, ujian yang ringan pun tidak upaya menghadapinya. Risiko yang sedikit sudah tergadai perjuangan.

Sekali lagi ditegaskan di sini bahawa perjuangan Islam ertinya membawa manusia amnya, dan khususnya umat Islam sendiri kepada mengagungkan Allah SWT, membesar, menyembah, mengabdi dan mentaati Allah SWT. Juga ingin membawa manusia kepada menerima, memahami dan menghayati ajaran Islam. Dan juga membawa mereka kepada kehidupan yang diikat oleh syariat atau hukumhakam Islam.

Kesimpulannya, apalah yang dapat diharapkan daripada orang yang lalai dengan Allah. Hatinya tidak terpaut dan bertaut dengan Allah SWT. Ibadahnya cuai, syariatnya longgar dan masih lazat dengan kemungkaran. Ertinya syarat yang pertama sebagai sebab untuk Allah SWT serahkan kejayaan dan kemenangan sudah gagal dipenuhi oleh umat Islam. Selagi umat Islam di tahap iman ilmu atau sekadar berfikiran tauhid, selama itulah Allah SWT tidak datangkan keyakinan kepada manusia untuk menerima Islam sepenuhnya. Kalau pun ada yang menerima Islam, maka pengamalannya juga sama saja dengan pejuang Islam itu sendiri.

Dalam situasi iman sedemikian, andainya dia seorang pemimpin, maka kezaliman dan kerosakan berleluasa hasil dari kekuasaan yang dimilikinya. Pemikirannya tidak membawa banyak kebaikan kepada umat. Pembangunannya condong kepada materialisma. Keuntungan dunia lebih diutamakan. Rakyat menerima padah di atas kerakusannya.

Andainya dia seorang intelek, cetusan idea dan pandangannya lebih cenderung kepada kepentingan pemerintah. Andainya dia seorang ulama, maka masyarakat umum tidak menjadikannya sandaran. Dia tidak mewarisi peribadi, tugas, peranan dan tanggungjawab para Nabi dan Rasul. Kehidupan ulama tidak berbeza dengan orang awam.

Andainya dia seorang pekerja, buruh atau petani, keluh-kesah, mendongkol dan tiada kesabaran sering melanda hidupnya. Sudahlah nasibnya miskin material yang memang sedia susah, ditambah pula dengan miskin jiwa, bertambah parahlah penderitaan hidup yang dialami. Kemiskinan dianggapnya satu bala dari Tuhan.

Orang kaya yang kelebihan harta-benda tidak dirasainya sebagai kurnia Allah, amanah dan ujian. Mereka kedekut, tamak, membazir, berfoya-foya, bermewahan dan berlebihan. Akhirnya lahirlah masyarakat yang mengalami berbagai kegawatan. Semua perkara negatif, mungkar, jenayah dan kesalahan hanya mahu diundang-undangkan. Kemudian dikuatkuasakan berserta hukuman. Maka lahirlah umat yang tidak pernah puas hati, berdendam, geram dan pemarah.

Begitu pun kedudukan umat Islam di seluruh dunia, kedapatan pula pihak yang mendakwa bahawa umat Islam tidak menegakkan hukum Islam kerana tiada kuasa. Pada satu sisi, dakwaan ini boleh diterima kerana dibuat oleh mereka yang inginkan kuasa dan belum memperolehinya. Di sisi yang lain dakwaan tersebut mungkin sekadar retorika atau slogan yang tidak dapat dipertanggungjawabkan kebenarannya. Realitinya banyak negara di dunia ini yang memang dikuasai oleh umat Islam sepenuhnya. Dari peringkat tertinggi seperti Presiden, Perdana Menteri atau Sultan hinggalah kepada buruh, petani dan penganggur semuanya beragama Islam.

Namun sukar hendak dilihat gambaran Islam dalam kehidupan dari individu, rumahtangga, masyarakat, institusi hinggalah kepada negara. 90% tidak bersembahyang apakah tunggu dapat kuasa? Apakah menutup aurat perlu dienakmenkan terlebih dahulu? Kasih sayang dan perpaduan perlukah diundang-undangkan? Secara umumnya umat Islam itu terdiri daripada pemimpin yang adil, ulama menjadi contoh dan obor, orang kayanya pemurah, golongan miskin dan pekerja bawahan sangat sabar, orang bersalah memohon ampun dan bertaubat, suami bertanggungjawab, isteri taat dan berkhidmat, anak-anak menghormati ibubapa. Apakah semua ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh semua golongan itu perlu menunggu kuasa pemerintahan dan undang-undang terlebih dahulu? Bagaimana andainya tidak mendapat kuasa pemerintahan sampai bila-bila? Apakah dengan mudah Allah SWT akan terima alasan tidak berlaku itu semua lantaran tidak ada kuasa pemerintahan? Inilah salah satu bentuk kecelaruan fikiran serta kefahaman umat Islam.

Begitulah situasi umat Islam apabila masih berada di tahap iman ilmu, atau sekadar berfikiran tauhid. Inilah yang dimaksudkan dengan tumpas atau kecundang di gelanggang sendiri. Tewas kepada kerakusan nafsu. Kalah kepada pujuk rayu syaitan. Jatuh terjelepak berhadapan dengan tarikan dan tipu daya kelazatan dan kesenangan duniawi yang sementara.

Sayangnya terlalu sedikit di kalangan umat Islam yang menyedari dan memandang penting terhadap persoalan pertama dan utama ini. Akibatnya umat Islam terus bergelut dan bergelumang dengan berbagai sifat dan perbuatan negatif. Maksiat dan kemungkaran itulah yang menjadi hijab atau penghalang dari turunnya bantuan Allah SWT. Dalam konteks dakwah pula, ini adalah penghalang manusia menerima kebenaran (Islam). Umat Islam gagal memperlihatkan kesyumulan Islam. Umat Islam tidak memperlihatkan imej mulia dan tingginya ajaran Islam.

Perlakuan umat Islam sendiri sangat bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri yang merupakan agama selamat sejahtera, indah dan mulia. Islam agama selamat tetapi umatnya tidak selamat. Islam agama sejahtera tetapi umatnya dilanda derita. Islam agama indah tetapi umatnya kacau-bilau dan penuh dengan berbagai kegawatan. Islam agama mulia tetapi umatnya ditimpa kehinaan di manamana. Rasulullah SAW bersabda:

Terjemahannya: “Kecacatan agama kerana hawa nafsu.” (Riwayat Al Syahaab)

Rasulullah SAW bersabda:

Terjemahannya: “Orang yang kurang amalannya maka Allah akan menimpakan dengan kegelisahan dan kesedihan.” (Riwayat Ahmad)

Kembali kepada perbandingan seperti di awal bab ini. Perbezaannya ialah bagaimana andainya seseorang itu memang memiliki identiti sebagai pegawai istana. Memang dia benar-benar dikenali ramai sebagai pegawai istana. Bukan sekadar mengenali raja tetapi sentiasa akrab. Dia juga sangat masak dengan segala selok-belok dan ehwal istana. Dialah orang raja yang mengundang kita bertemu raja dan bertandang ke istana. Tentulah dengan mudah kita menerima undangannya. Tidak timbul sebarang keraguan melihat kepada peribadinya itu. Kita yakin kepada dirinya dan tentu dia tidak sanggup berbohong atau tidak membuat ajakan kosong. Sudah pasti dia tidak akan menipu bagi pihak raja kerana dia memang benar-benar orang raja dan punyai ‘authority’ sebagai pegawai istana.

Inilah satu bentuk perbandingan yang menghampirkan kepada pemahaman kita dalam konteks perjuangan Islam. Iaitu syarat keimanan yang menjadi sebab untuk Allah SWT beri kemenangan kepada umat iaitu sekurang-kurangnya bertaraf iman ‘Ayan atau orang yang berjiwa tauhid. Ini adalah tahap sekurang-kurangnya yang mesti dicapai khususnya oleh golongan yang mahu meletakkan dirinya sebagai mujahid atau pejuang menegakkan agama Allah SWT.

Berjiwa tauhid atau memiliki iman ‘Ayan ini juga yang dikatakan sebagai orang soleh atau Ashabul Yamin (golongan kanan). Kepada merekalah Allah SWT menjanjikan akan diserahkan kekuasaan atau diangkat menjadi khalifah sebenar di atas muka bumi. Mereka yang Allah SWT ‘pandang’ layak untuk diserahkan amanah menjadi pengganti (khalifah) untuk mengatur dan mencatur manusia.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sesungguhnya akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa.” (An-Nur: 55)

Mereka ini dijamin selamat dan tidak akan jatuh ke neraka di akhirat kelak. Apabila Allah SWT menjamin keselamatan akhirat itu sudah pastilah mereka adalah golongan umat Islam yang selamat di dunia. Selamat di dunia disifatkan kerana hati sentiasa takut kepada Allah SWT, sentiasa berada di atas landasan syariat. Ibadah mereka bukan sahaja banyak tetapi juga sempurna. Akhirat amat digeruni.

Inilah yang disifatkan oleh Allah SWT di dalam Al Quran:

Terjemahannya: “Sesungguhnya orang yang benar- benar beriman itu ialah apabila disebut nama Allah, gementar hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambah imannya, sedang mereka itu bertawakkal kepada Tuhannya.” (Al-Anfaal: 2)

Ciri-ciri mereka ini ialah orang yang hatinya takut, gerun, cemas dan bimbang terhadap Allah SWT. Jiwanya benar-benar bertauhid. Hatinya sentiasa merasai Allah SWT Maha Besar, Maha Agung, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Pencipta. Atau mana-mana asma’ Allah SWT disebut atau diingat akan mendatangkan getaran pada hatinya.

Hatinya sentiasa terpaut dan bertaut dengan Allah SWT. Dalam sehari semalam, lapan belas jam dalam ibadah khusus mahupun ibadah umum. Baki dari itu dia berbuat perkara harus. Namun tidak pula terjatuh kepada sebarang dosa. Pengawasan hatinya kepada syariat sangat kuat. Andainya terjatuh juga kepada dosa tanpa disengajakan atau tanpa disedari, atau bukan dari kehendak nafsunya atau yang datang kepadanya, nescaya sekadar dosa kecil. Itupun sekali-sekala dan sangat sedikit. Begitupun, dia segera memohon keampunan dan Allah SWT mengampuninya. Dosa walaupun kecil, Allah SWT tidak ampunkan kerana keangkuhan, disengajakan, diremehkan dan berlengah- lengah memohon keampunan.

Mereka penuh sedar akan kedatangan akhirat yang hak dan pasti. Kehidupan dunia yang sementara dan singkat ini bakal diperhitungkan di akhirat nanti. Mereka bimbang andainya bakal tergelincir ke neraka. Syurga yang penuh nikmat itu pula disediakan bagi orang yang benar-benar layak. Nilai Syurga yang begitu tinggi bukan sebarangan orang untuk memasukinya. Terasa tidak layak memasukinya. Namun mereka mendambakan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Maka mereka buru sepenuh masa dan tenaga untuk memperolehi rahmat Allah SWT itu. Setiap masa, tenaga, harta-benda dan pemikiran dicurahkan untuk berbuat kebaikan. Keazamannya, citacitanya, impiannya dan harapannya ialah ingin melihat Islam itu mulia. Daya juang dan pengorbanannya tinggi. Hidupnya zuhud dan sederhana. Dan memang memilih kehidupan itu hanya semata-mata cintakan Allah SWT, Rasul-Nya dan agama yang Mulia. Keyakinannya kental, kemahuannya kuat, azamnya tinggi, cita-citanya besar iaitu kejayaan umat Islam.

Tidak ada istilah kepentingan diri dalam kamus hidupnya. Hidup matinya ikhlas untuk Allah SWT, Rasul-Nya dan Islam. Bukan penghargaan yang diharapkan tetapi harga diri. Bukan penghormatan yang diidamkan tetapi penuh terhormat. Bukan dipuji, dipuja dan dipermuliakan yang diinginkan tetapi hidup dengan kemuliaan.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Kemuliaan itu ada pada Allah, pada Rasul-Nya dan pada orang mukmin.....”

Pegangan hidupnya adalah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

Terjemahannya: “Umat terdahulu selamat (berjaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Dan umat terakhir kelak akan binasa kerana bakhil (harta dan jiwa) dan tiada cita-cita.” (Riwayat Abi Ad Dunya)

Roh manusia dalam keadaan tersendiri tanpa jasad sangat mengenal Allah SWT. Namun hati atau roh itu tetap mampu mengenal Allah SWT seperti asalnya apabila bersungguh-sungguh menolak tuntutan nafsu dan syaitan. Apabila hati itu bersih dari pengaruh nafsu dan syaitan maka ianya kembali terbuka pandang-tembus mengenal Allah SWT seperti asal fitrah kejadian roh itu. Roh yang mengenal Allah SWT, yang benar-benar merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT ini yang disifatkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Terjemahannya: “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga- Ku.” (Al- Fajr: 27-30).

Umat Islam mesti benar-benar memahami hakikat bahawa segala jenis kemungkaran, maksiat, kejahatan dan gejala negatif berpunca dari nafsu yang liar. Nafsu tidak boleh ditundukkan dengan undang-undang, peraturan dan hukuman. Nafsu tidak dapat dikalahkan oleh segala usaha lahir seperti membesarkan otot-otot. Otot-otot yang pejal membenjol serta keras dan padat tidak akan dapat mengekang hawa nafsu.

Misalnya, dunia hari ini menghadapi fenomena berleluasanya gejala negatif terutamanya golongan remaja. Tiada apa yang silap dengan kajian, perancangan, program dan aktiviti yang begitu banyak. Tenaga, masa dan wang ringgit begitu besar sebagai peruntukan untuk mencegah dan membendung gejala negatif. Namun hasilnya sangatlah mengecewakan.

Buatlah apa pun program dan aktiviti. Jika tidak menjurus kepada peningkatan iman hingga ke taraf iman ‘Ayan, selagi itu tidak akan berhasil mencegah dan membendung gejala negatif. Buatlah kajian seberapa teliti dan terperinci diiringi pula dengan perancangan jangka pendek dan jangka panjang. Seandainya itu semua tidak ada langsung berkaitan dengan soal spiritual, rohaniah, mengekang nafsu, selagi itu tidak akan membawa sebarang penyelesaian yang konkrit dan berkesan.

Kerakusan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan memanjat gunung, bersampan, berakit dan berkayak, berenang, bersilat, berjogging dan bersukan. Semua aktiviti ini hanyalah memejalkan otot badan. Nafsu bersifat rohani. Apabila nafsu terdorong untuk menagih dadah, ianya tidak dapat ditangkis atau ditepis dengan langkah atau buah silat dan lain-lain.

Hukuman pula hanyalah jalan keluar terakhir dan bukan penyelesaian yang berkesan. Hukuman sama saja seperti orang yang takutkan harimau. Masuk di kawasan yang dikenal pasti ada harimau, tidak mencemaskan sekiranya seseorang itu memiliki apa saja alat yang memungkinkan dia menewaskan harimau itu. Ertinya masih ada peluang untuk bebas dan terlepas dari terkaman harimau. Tidak menghairankan sekalipun ramai yang sudah dihukum mati kerana mengedar dadah, namun dadah tetap terus beredar di pasaran secara meluas. Ini menunjukkan adanya mereka yang berjaya mengelakkan diri dari ditangkap oleh pihak berkuasa.

Mati itu sendiri hanya ditakuti oleh orang beriman. Ini adalah kerana orang beriman tahu dan dapat merasakan betapa dahsyat peristiwa mati dan selepas itu. Orang mukmin saja yang bimbang terhadap kegemparan mati dan akhirat. Bagi orang yang tidak beriman, mati itu hanya sekadar satu peristiwa yang bakal dilalui oleh semua orang. Mati bagi mereka berakhirlah segala persoalan hidup. Tidak lebih dari itu. Sebab itu mereka tidak menjadikan mati itu sebagai ubat untuk menghindarkan diri dari kemungkaran. Hanya orang beriman saja yang yakin dan berpegang kepada sabda Rasulullah SAW:

Terjemahannya: “Cukuplah mati sebagai penasihat.”

Mati itu sendiri hanya berkesan mengingatkan orang beriman. Bagi orang yang tidak beriman, hukuman mati itu hanya bersifat menamatkan kerja-kerja jahat yang dilakukannya.

Kerakusan nafsu hanya mampu ditundukkan oleh iman. Iman pula mestilah pada kategori iman ‘Ayan. Iman ‘Ayan inilah ubat paling berkesan dalam menangani gejala negatif.

Sekiranya umat Islam terutamanya pemimpin masyarakat, para pejuang, pendakwah, warga pendidik dan seluruh ibubapa benar-benar prihatin terhadap segala masalah umat Islam, hendaklah kembali kepada usaha ikhtiar yang benar-benar tepat. Natijah dari ketepatan itulah nanti Allah SWT datangkan kejayaan dan kemenangan kepada umat.
Powered by Blogger.

Blog Archive

Contact

we would really love to hear from you

Contactinfo

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt.

quis nostrud exercitation ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum