World Royal VIP Community

Love and Care ... The Key To Universal Of Unity . Memertabatkan Malaysia ke Pentas Dunia.

Welcome

Berita-berita Semasa

Kepimpinan


Dalam bab-bab sebelum ini telah dikupas dan dianalisis mengenai kekuatan melalui membaiki diri, keimanan, ketaqwaan dan perpaduan, maka kini difokuskan pula mengenai pemimpin dan kepimpinan. Urutan yang sepatutnya ialah didahului tentang kepimpinan, kerana pemimpinlah yang menjadi faktor kepada berlakunya membaiki diri, iman, taqwa dan perpaduan. Atau dengan kata lain pemimpinlah yang membawa kepada terhasilnya kekuatan yang lain-lain itu. Tanpa pemimpin tiada umat yang dapat mengenal Allah SWT dan beriman denganNya, tiada yang dapat mendidik menjadi taqwa dan tiada yang boleh mengikat perpaduan umat. Sebab itu Allah SWT utus para Rasul terlebih dahulu baru diiringi dengan diturunkan wahyu.

Setelah diutus Rasul sebagai figure pendahulu barulah diturunkan wahyu untuk mengatur seluruh manusia. Tidak pernah berlaku di sepanjang zaman berlalu tanpa adanya pemimpin. Malah pemimpinlah yang disebut oleh Rasu- lullah SAW dalam hadisnya bermaksud:

“Dua golongan apabila baik mereka maka baiklah masyarakat iaitu umarak dan ulama.”
(Riwayat Ibnu Abdul Barri dan Abu Nuaim).

Melalui penjelasan Rasululah SAW itu kita dapat melihat di mana setiap situasi disetiap zaman adalah di corakkan oleh pemimpin. Zaman yang masyarakatnya rosak tentulah dicorakkan oleh pemimpinnya yang rosak.

Apabila Rasulullah SAW membayangkan bahawa umat Islam akan kembali gemilang dan agung di akhir zaman sudah pasti dan muktamad adanya pemimpin yang hebat, berwibawa dan dibantu oleh Allah SWT. Sebagaimana tertegaknya zaman ummah pertama oleh faktor kepimpinan yang dijanjikan maka sudah pasti tertegaknya zaman ummah kedua juga di tangan pemimpin pilihan yang dijanjikan.

Islam agama yang datang dari Allah SWT dan disampaikan kepada Rasul dan para Nabi bermula dari Nabi Adam a.s sampailah kepada Rasulullah SAW. Ini menunjukkan kebenaran itu bersambung dari dekad ke dekad, dari abad ke abad, dari satu generasi ke satu generasi. Berlaku kesinambungan ataupun kelangsungan pejuangan Islam.

Kesinambungan ini ataupun kebenaran yang disambung dari dekad ke dekad, dari abad ke abad ini tidak pernah berhenti. Tidak pernah rehat. Cuma kadang-kala ia laju, kadang kala ia perlahan. Kadang-kadang ia serius, kadang-kadang ia tidak berapa serius. Namun perjuangan itu tetap berjalan, tetap dilaksanakan dan tetap bersambung.

Walaupun kebenaran itu sentiasa ada dari dekad ke dekad, dari abad ke abad, tetapi untuk dapat memperjuangkan Islam hingga tertegak hukum hakam Islam secara syumul yakni di setiap aspek kehidupan, ia tidak berlaku pada semua masa. Tidak berlaku pada semua abad. Tidak berlaku pada semua generasi.

Tertegaknya kebaikan secara menyeluruh ataupun secara global ini berlaku sekali sekala sahaja, mengikut masa-masa yang tertentu dan mengikut pemimpin-pemimpin yang tertentu pula. Walaupun banyak lahir pemimpin dan perjuangan menegakkan kebenaran itu berlaku sepanjang masa, tapi hanya sebilangan jari saja yang berjaya dan mampu memperjuangkan Islam secara syumul.
Sedangkan di sisi Allah, perintah berjuang adalah diwajibkan pada semua orang pada setiap masa dan pada semua generasi. Ini sudah taklif atau sudah dipertanggungjawabkan; tidak boleh tidak. Walaupun perintah berjuang itu ada tapi kejayaan menegakkan Islam secara global atau menyeluruh tidak berlaku setiap masa tapi hanya berlaku sekali sekala.

Kejayaan menegakkan Islam secara syumul berlaku mengikut peringkat-peringkat atau tahap-tahap. Ada yang berlaku di peringkat diri dan keluarga sahaja. Ada yang berlaku di peringkat thoifah sahaja, ada yang berlaku di tahap jemaah yang lebih besar, ada yang berlaku di peringkat empayar, dan ada yang berlaku di peringkat ummah.

FAKTOR UTAMA KEJAYAAN PEMIMPIN 
SECARA UMUM 

Iman Dan Taqwa

Ini adalah faktor asas dan utama bagi seorang pemimpin. Melalui tahap iman dan taqwa yang tinggi Allah SWT akan bantu kepimpinannya. Pemimpin yang beriman dan bertaqwa sentiasa ada pautan, sandaran dan hubungan dengan Allah SWT. Dia sentiasa memelihara sehalus-halusnya dan seninya hati dengan Allah SWT sekaligus sangat menjaga syariat dalam segala urusan. Lantaran itu Allah SWT sentiasa memelihara dan menjadi pembelanya.

Pemimpin adalah pencorak, pengatur dan pencatur masyarakat, ‘sibghatullah’ atau celupan Allah SWT itulah yang mewarnai kehidupannya lahir dan batin. Maka itu juga yang mewarnai kehidupan masyarakat. Ini bolehlah diibaratkan andainya seseorang hendak memberi duit kepada orang lain maka dia mestilah ada duit. Betapalah dalam soal iman, taqwa, kasih sayang dan perpaduan yang bersifat maknawiyah atau abstrak.

Pemimpin yang kenal Allah SWT barulah dapat membawa manusia kenal kepada Allah SWT. Pemimpin yang sentiasa ada pautan hati dengan Allah SWT yang tidak lekang serta dibawa ke mana-mana, barulah dapat mempertautkan hati manusia dengan Allah SWT. Pemimpin yang berjaya mendidik dan menundukkan nafsunya barulah boleh mendidik manusia.

Selain dari itu Allah SWT beri bantuan kerana keimanan dan ketaqwaan mereka menurut keperluan di situasi dan zaman ianya berada. Ertinya Allah SWT yang Maha Mengetahui akan hambaNya, menyalurkan bantuan sangat berbeza antara satu pemimpin dengan pemimpin yang lain.

Tidak semua pemimpin berjaya secara syumul

Setiap orang boleh berusaha menjadi pemimpin untuk tegakkan Islam secara syumul mengikut zaman masing- masing, namun tidak semua pemimpin akan berjaya berbuat demikian. Kerana kejayaan itu sudah ditentukan oleh Allah.

Untuk memperluaskan daerah atau jajahan Islam atau untuk memperbanyakkan orang masuk ke dalam agama Islam ini mudah. Tetapi untuk menegakkan Islam secara syumul di setiap aspek kehidupan mengikut peringkat- peringkat yang ditentukan, ini sulit. Sebab kejayaan menegakkan Islam secara syumul mengikut peringkat masing- masing, sama ada peringkat keluarga, jemaah, negara, empayar dan seterusnya, ada faktor-faktornya.


FAKTOR KEJAYAAN MENEGAKKAN ISLAM

SECARA SYUMUL DI SETIAP PERINGKAT


1. Faktor pemimpin.

Belum pernah berlaku dalam sejarah, kebaikan atau kebenaran itu dapat ditegakkan tanpa adanya pemimpin. Untuk berjaya mesti ada pemimpin. Tidak pernah berlaku kejayaan menegakkan Islam secara syumul di peringkat keluarga sekalipun, tanpa pemimpin. Tanpa adanya pemimpin, ia tidak akan berjaya.

Di dalam keluarga, pemimpinnya ialah ayah atau suami, atau orang yang ditua-tuakan. Kalaupun lahir kebaikan- kebaikan di peringkat keluarga tanpa adanya pemimpin, maka ia berlaku secara biasa dan tidak menyeluruh. Untuk menegakkan kebaikan secara menyeluruh di peringkat keluarga, mesti ada pemimpin. Begitulah juga di peringkat thoifah, jemaah, empayar dan seterusnya.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Allah pembela bagi orang bertaqwa.” (Al-Jatsiyah: 19)

Terjemahannya:”Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan melepaskannya dari ke- susahan hidup dan memberi rezeki dari sumber yang tidak diduga” (At-Thalaq: 2-3)

Itu janji-janji Allah kepada orang-orang bertaqwa; dibantu kepimpinannya. Walaupun kiranya pemimpin itu tidak dijanjikan atau tidak ditunjuk oleh Allah melalui Al Quran dan Hadis, tapi kalau dia bertaqwa, dia boleh berbuat lebih dari pemimpin-pemimpin biasa.

Pemimpin-pemimpin yang ditunjukkan Allah SWT termasuklah Rasulullah SAW, para Rasul, para Nabi, para mujaddid dan Muhammad Al Fateh. Pemimpin-pemimpin yang tidak ditunjukkan atau tidak dijanjikan, tetapi bertaqwa, maka Allah tetap memberi bantuan kepadanya lebih daripada pemimpin biasa. Pada mereka ada bersama kerajaan langit, tentera Allah menumpaskan musuh.

a. Karisma

Setelah taqwa, faktor karisma penting sebagai menokok tambah kepimpinan dan kesempurnaannya. Taqwa boleh diusahakan, tetapi karisma adalah sifat semulajadi, tidak boleh diusahakan. Karisma bersifat jazabiah(anugerah).

Ciri-ciri karisma adalah:

i. Kacak.

Ini tak boleh diusahakan. Kacak atau rupa paras yang menarik membantu kepimpinan di samping taqwa.

ii. Berani

Ini karisma semulajadi. Ada orang berani luar biasa. Kalau takut, dia boleh usahakan jadi berani tetapi tak sama orang yang berani secara karisma ini.

iii. Petah bercakap

Dengan kepetahan bercakap, dia boleh mempenga- ruhi orang. Kalau pun tidak kacak, kerana rupanya buruk di kalangan orang-orang lain tetapi dia petah bercakap. Bila mendengar dia bercakap, orang tertawan. Ciri karisma ada padanya tapi tidak lengkap.

iv. Cerdik

Pandai boleh diusahakan, tapi cerdik adalah sifat semulajadi. Ada beza antara cerdik, pandai dan bijak. Kalau cerdik, ini karisma. Kalau pandai bukan dikatakan karisma. Pandai boleh diusahakan. Misalnya menganalisis – pandai otaknya.

Peranan akal adalah menerima, menyimpan dan mengeluarkan ilmu. Bagi orang yang cerdik, dia boleh menerima, menyimpan dan mengeluar- kan dengan baik. Ilmu yang diterima boleh pula dihuraikan lagi. Ketiga-tiga fungsi otaknya baik. Jika seorang pemimpin itu tidak ada karisma ini, susah sedikit baginya untuk memperkemaskan kepimpinannya.

b. Ilmu atau pengalaman (termasuk ilham)

Kalau seorang pemimpin itu dijanjikan, dengan taqwanya dia dibantu mendapat ilham. Dia ada kepimpinan. Sebagai pemimpin, kalau tidak dapat ilham, dia ibarat layang-layang yang talinya pendek. Layang- layang itu tidak boleh terbang tinggi. Kalau mendapat ilham, ia ibarat layang-layang yang boleh terbang tinggi kerana talinya panjang.

Ilmu yang diperolehi hasil dari pengalaman adalah khibrah.

Faktor pemimpin sangat penting untuk menegakkan kebaikan secara menyeluruh di peringkat keluarga, jemaah, negara, empayar bahkan sedunia. Faktor pemimpin adalah faktor pertama dan utama. Kerana pemimpin umpama kayu dan rakyat ibarat bayang-bayangnya. Kalau kayu lurus maka bayang-bayangnya pun lurus. Tapi kalau kayu bengkok maka bayang-bayangnya pun bengkok. Tak mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Dan kalau kayu lurus bayangnya pun lurus.

2. Faktor pemimpin yang dijanjikan.

Seseorang pemimpin yang ditunjuk Allah sama ada melalui kitab, Al Quran atau Hadis, secara otomatik jemaahnya adalah jemaah yang ditunjuk juga. Kalau dia memimpin negara maka otomatik negara itu negara yang ditunjuk. Begitu juga kalau dia memimpin thoifah, jemaah atau empayar.

Isyarat atau tanda seseorang pemimpin itu ditunjuk ialah dia dapat melaksanakan ajaran Islam lebih daripada orang lain. Dia lebih berjaya tegakkan Islam daripada orang lain. Dia bukan saja bertaqwa dan ada karisma, malah dia memang ditunjuk, ditentukan dan dipilih oleh Allah. Buktinya dapat dilihat pada Rasulullah SAW, Kulafa’ur Rasyidin dan Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz. Begitu juga Muhammad Al Fateh serta mujaddid awal kurun seperti Imam Syafie dan Imam Ghazali. Kesemuanya menonjol kebaikan yang dibuat.

Salahuddin Al Ayubi pula, walaupun tidak ada isyarat- isyarat yang menyatakan dia pemimpin yang ditunjuk, tetapi yang pasti dia bertaqwa dan berkarisma. Dia dapat hasilkan kejayaan melebihi apa yang dibuat oleh orang lain.

Isyarat Al Quran dan Hadis mengenainya memang tak ada, tetapi dia dapat membawa kejayaan; dapat menawan Baitul Maqdis dan lain-lain. Namun ketokohan Salahuddin Al Ayubi sentiasa di bawah Muhammad Al Fateh. Muhammad Al Fateh lebih menonjol dan lebih berwibawa. Sebab itulah Muhammad Al Fateh dapat menegakkan empayar yang luas, agak lama dibandingkan dengan Salahuddin Al Ayubi.

Jadi kita tahu bahawa kalau seorang pemimpin yang dijanjikan, maka keluarganya juga dijanjikan, jemaahnya juga dijanjikan, negara yang dipimpinnya juga dijanjikan dan begitulah seterusnya.

3. Faktor tempat.

Mujadid dilahirkan di satu-satu tempat yang dijanjikan. Bila tempat itu dijanjikan, maka tidak ada tempat lain di zaman itu di mana kebaikan dapat ditegakkan lebih daripada tempat itu. Tempat itu mengikut di mana mujadid itu lahir. Tempat itulah yang dijanjikan.

Kadang-kadang tempat itu lebih jelas ditunjukkan oleh Hadis daripada orang-orangnya. Contohnya Konstantinopel. Nama Konstantinopel lebih jelas ditunjukkan oleh hadis, sedangkan Muhammad Al Fateh tidak disebut namanya. Cuma diisyaratkan, Konstantinopel akan jatuh ke tangan sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera atau rakyat. Yang lebih jelas disebut ialah Konstantinopel.

Contoh lain ialah tentang Timur. ‘Timur’ disebut dalam hadis. Ia tempat yang ditunjukkan. Oleh itu kebaikan yang dapat ditegakkan di Timur melebihi kebaikan di mana- mana tempat lain. Tidak hairanlah ‘Timur ’ ini lebih menonjol kebaikannya dari tempat lain.

4. Faktor masa.

Kebaikan secara syumul dapat ditegakkan pada setiap awal kurun. Kalau seorang pemimpin atau satu-satu jemaah atau golongan itu bukan lahir di awal kurun, dia tak boleh pergi jauh. Memang sudah ditentukan begitu.

Para orientalis ketika menulis tentang kesufian, sering mengambil contoh kisah-kisah Zunnun Al Misri, Malik bin Dinar dan lain-lain ulama sufi yang hidup di pertengahan kurun dan di hujung kurun. Mereka tak ambil contoh ulama-ulama sufi yang bertaraf mujaddid yang lahir di awal kurun seperti Imam Syafie, Imam Al Ghazali dan Imam Sayuti. Sebab sufi bertaraf mujaddid itu mempunyai sifat kepimpinan. Kalau ditonjolkan nanti umat Islam bangkit.

Maka ditonjolkan ahli-ahli sufi yang tidak bertaraf pemimpin. Tujuannya supaya kita yang hidup di awal kurun ini hanya mencontohi ahli-ahli sufi yang hidup di hujung kurun. Yakni ahli-ahli sufi yang lebih banyak mengasingkan diri dari masyarakat (beruzlah) untuk menyelamatkan iman kerana masyarakat waktu itu telah rosak. Mungkin dari segi ilmu, memang ilmu-ilmu terbuka luas. Tetapi faktor kepimpinan boleh menegakkan Islam secara syumul ini kurang.

Ilmu itu boleh Allah bukakan. Ini termasuk ilmu tafsir, tasauf atau sebagainya. Tetapi ilmu kepimpinan yang berbentuk ilham ini hanya diberikan kepada pemimpin yang dijanjikan.

5. Faktor ‘team’ kepimpinan.

Untuk menegakkan Islam yang syumul mengikut peringkatnya, mesti ada satu golongan yang dikatakan ahlul halli wal ‘aqdi. Ia sangat penting kerana ia membantu pemimpin. Pemikiran mereka selaras dengan pemimpin yang dijanjikan dan sangat taat. Mereka inilah yang membentuk team kepimpinan sama ada bagi pemimpin sahaja, lebih-lebih lagi pemimpin yang dijanjikan.

Contohnya seperti Rasulullah SAW; baginda ada teamkepimpinannya; Muhammad Al Fateh ada team kepimpinannya sendiri yang termasuk gurunya Shamsuddin Al Wali. Kalau seseorang pemimpin itu tiada team kepimpinan, susah baginya hendak capai kejayaan mengikut peringkatnya.

6. Mesti ada orang bertaqwa bertaraf wali.

Namanya sangat rahsia. Manusia tak tahu. Kalau ada yang tahu pun, sedikit sahaja. Disebabkan mereka inilah (orang bertaraf wali), terbantunya kerja-kerja menegakkan kebenaran. Kerana merekalah, Allah beri rezeki dan Allah bantu perjuangan. Rezeki diturunkan, bala dialihkan.

Kalau tidak kerana hadirnya orang-orang ini, semua orang lain akan diazab. Tetapi oleh sebab adanya orang yang Allah cinta, maka orang lain diberi rahmat. Orang bertaqwa ini mungkin terdiri dari kalangan pemimpin atau dari kalangan pengikut. Pada sesiapa saja boleh berlaku taraf wali ini.

Bagi pemimpin yang dijanjikan, dia sudah ditentukan kewaliannya.

7. Ada golongan fanatik.

Fanatik yang dimaksudkan di sini ada dua bentuk:

a. Amalan Islam yang kuat.
b. Ketaatan yang kuat.

Di akhir zaman golongan yang fanatik ini disebut Ikhwan dan Asoib. Walaupun tidak bertaqwa, mereka mempengaruhi suasana, jemaah, keluarga, thoifah dan daulah. Mereka sekadar soleh tetapi sangat taat dan amalkan Islam sungguh-sungguh.

8. Bila sudah sampai ke kemuncak kezaliman.

Untuk menegakkan Islam secara syumul atau menyeluruh, lihat keluarga, jemaah dan dunia. Salah satu faktor- nya ialah kemuncak kezaliman telah berlaku. Sudah kebia- saan, setiap adanya ‘supersoleh’, mesti ada ‘superzalim’.

Di zaman Rasulullah SAW, ‘super zalim’ yang dijanjikan waktu itu adalah Abu Jahal. Jadi bila kebenaran yang dijanjikan akan tertegak, waktu itu berlaku kemuncak kezaliman. Kemuncak kezaliman ini relatif, ia berlaku mengikut peringkat-peringkat atau suasana sesuatu tempat itu. Kalau tempat itu, darjah kejahatannya tinggi, maka tahap kezalimannya tinggi. Sebaliknya jika tempat itu, darjah kejahatannya rendah maka tahap kezalimannya rendah.

Sebagai perbandingan, ambil contoh di negara-negara lain, pergaduhan yang menyebabkan beberapa orang mati adalah perkara biasa. Ia tidak menjadi berita. Jika berlaku rusuhan yang menyebabkan beribu-ribu orang mati, baru dikira besar. Itulah kemuncaknya. Sebaliknya di Malaysia, kejadian kereta berlanggar yang mengakibatkan dua orang terbunuh, pun sudah dikira besar. Itulah kemuncaknya.

Apabila kemuncak kezaliman berlaku, maka kebenaran secara global juga memuncak sama. Ia naik sama seiring.

Grafnya sama tinggi.

Kalau hendak diulas seperti yang sedang berlaku sekarang ini, hikmahnya ada dua perkara:

a. Untuk mencanai hati manusia supaya dekat dengan Allah.
b. Untuk menunjukkan kegagalan sistem dan perlaksanaan yang ada sekarang ini.

Cara Allah hendak proses secara langsung ialah seperti melalui bencana alam. Secara tidak langsung pula melalui kekhilafan, kesalahan, kebakaran, kerosakan alat dan kelalaian manusia.

9. Ada model.

Setiap perjuangan mesti ada model mengikut peringkat-peringkatnya. Kalau perjuangan itu di peringkat jemaah maka jemaah itu sebagai model. Kalau di peringkat negara, maka negaralah sebagai model.

Model adalah sesuatu yang dapat dilihat. Bila ada model, sesuatu perjuangan itu mudah mempengaruhi. Kerana mata sangat mempengaruhi hati. Kegagalan sekarang ini adalah kerana ramai orang boleh bercerita tentang Islam tetapi tidak menunjukkan model. Ibarat berbahas tentang gula tetapi tidak ada gula di depan mata. Seorang percaya gula itu manis, seorang lagi tak percaya. Yang tak percaya itu cuma perlu merasa sahaja. Bila dia dapat rasa gula, dia akan percaya manisnya gula itu.

Inilah Islam di akhir zaman. Kalau kita hendak mempersembahkan Islam, kita tidak boleh hanya memperkatakannya, sebaliknya perlu sediakan model pada diri, keluarga, jemaah atau negara. Ibarat bercerita tentang gula, kita mesti memberi orang rasa kemanisan gula itu. Dengan ada- nya model, orang yang duduk dengan kita boleh tertarik.

Cuma kadang-kadang Islam dijadikan bahan mental exercise. Ia hanya membuat orang tahu kebaikannya, tapi tidak dapat merasainya. Bila ini berlaku, ilmu tentang Islam telah jadi istidraj. Misalnya, dalam memberi kuliah, tukang kuliah memperkatakan tentang sifat-sifat keji (mazmumah). Tetapi mazmumah pada dirinya tak tersuluh hingga kata- katanya tajam dan menikam. Orang yang bergaul dengan- nya pun tidak tertarik.

Kalaulah umat Islam faham kesemua sembilan faktor itu tadi mereka:

1. Tidak akan berebut kepimpinan.

Sebab kalau faham faktor, dia tahu apakah dia dijanjikan atau tidak, bertaqwa atau tidak, ada karisma atau tidak, maka kepimpinan tidak jadi rebutan. Cuma sekarang ini kepimpinan menjadi rebutan adalah kerana tidak tahu diri. Pejuang-pejuang yang tidak tahu maka mereka akan cetuskan revolusi dan peperangan. Akhirnya hancur di tangan musuh kerana bukan orang yang dijanjikan.

2. Pandai menyesuaikan diri.

Umat Islam akan faham apa yang perlu dibuat pada perjuangannya di sesuatu zaman. Mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan suasana. Kalau seseorang itu berada di awal kurun dan dia tahu pada dirinya tidak ada sifat-sifat sebagaimana yang dijanjikan maka dia akan mencari mujaddid di zaman itu.

Jika dia faham kedua-dua perkara itu, dia berjuang dengan tidak melulu dan pandai bertindak.

3. Pemimpin yang dijanjikan tidak boleh diganti 
   (kecuali dia mati).

Dia tidak akan nyanyuk. Tidak akan dimatikan oleh Allah di pertengahan jalan sebelum perjuangannya sampai pada matlamat.

Powered by Blogger.

Blog Archive

Contact

we would really love to hear from you

Contactinfo

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt.

quis nostrud exercitation ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum