World Royal VIP Community

Love and Care ... The Key To Universal Of Unity . Memertabatkan Malaysia ke Pentas Dunia.

Welcome

Berita-berita Semasa

Perutusan Penting 5 : Untuk Semua Rakyat Dan Pemimpin UMNO Malaysia

Allah SWT Membela Orang Bertaqwa


Allah SWT, Zat Yang Maha Agung, Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Seluruh makhluk dalam genggaman-Nya. Dialah yang menentukan tiap-tiap sesuatu. Tidak bergerak dan diam sesuatu melainkan dengan kehendak dan izin-Nya.


Dalam siri Perutusan Penting 3 : Untuk Semua Rakyat Dan Pemimpin UMNO Malaysia "Kekuasaan Allah" telah dinyatakan bahawa umat Islam perlu berusaha, berikhtiar bersungguh-sungguh sebagai menghadirkan sebab untuk Allah SWT mengurniakan kekuatan, kejayaan dan kemenangan. Untuk Allah SWT datangkan hasil itu pula mestilah bertepatan dengan sunnah-Nya atau ketentuan-Nya. Segala bentuk, cara dan kaedah sebagai sebab-musabab yang bertepatan itu pula, semuanya telah ditempuh dan dilalui oleh para Rasul khususnya Rasulullah SAW. Ertinya apabila umat memilih jalan lain, natijahnya juga akan menjadi lain. Oleh itu, umat Islam mesti menolaknya dan kembali mengikut jejak langkah umat terdahulu yang telah berjaya.

Dalam siri Perutusan Penting 3 : Untuk Semua Rakyat Dan Pemimpin UMNO Malaysia "Kekuatan Iman - Akar Tunjang" dinyatakan mengenai kejayaan yang bakal diperolehi atas faktor iman. Iaitu sekurang kurangnya pada kategori iman ‘Ayan. Iman itu ibarat enjin kereta. Kalau rendah kuasa kudanya, maka kuranglah lajunya, kurang kuat dan kurang gagah untuk membawa beban yang berat. Atau kurang lasak untuk berfungsi pada keadaan yang lebih banyak halangan. Enjin yang berkuasa kuda rendah ini lazimnya dipasang kepada kereta yang bersaiz kecil. Andainya enjin rosak, kereta itu langsung tidak boleh berjalan.

Iman ‘Ayan mampu memacu umat ini menjadi umat yang gigih dalam memikul beban perintah Allah SWT yang berupa berbagai makrufat. Iman ‘Ayan juga merupakan benteng kukuh melindungi umat dari terjebak dan terjerumus kepada berbagai anasir negatif, kemungkaran dan kemaksiatan. Kesimpulan mudah ialah iman‘Ayan menjadikan seseorang itu positif dan terhakis segala yang negatif. Iman ‘Ayan juga menjadikan seseorang itu memiliki kekuatan jiwa – gigih, kuat cita-cita, tahan uji serta sanggup berkorban.

Kalau dalam soal iman itu ianya berkait langsung dengan sikap dan amalan manusia itu sendiri, taqwa pula merupakan faktor yang lebih halus dan seni. Orang bertaqwa sudah pasti beriman. Namun orang beriman belum pasti memiliki sifat taqwa.

Taqwa adalah faktor paling utama dalam memperolehi bantuan Allah SWT. Bantuan Allah SWT kepada orang bertaqwa ini dalam berbagai bentuk yang tidak diketahui oleh manusia. Dan lazimnya bentuk bantuan yang Allah SWT datangkan itu mengikut keperluan semasa atau mengikut peranan seseorang. Ertinya bantuan Allah bagi orang yang bertaqwa itu berbeza menurut keperluan dan peranan semasa. Bagi pendakwah yang bertaqwa, bantuan yang Allah turunkan berbeza dengan pemimpin yang bertaqwa. Dan berbeza pula dengan seorang ahli perniagaan atau seorang pendidik.

Allah SWT permudahkan segala urusan orang yang bertaqwa. Sedikit berbuat, membawa hasil yang segera dan berjaya. Apatah lagi kalau berusaha bersungguh-sungguh dan banyak berbuat. Oleh yang demikian sangat dituntut agar dalam berusaha dan berikhtiar itu mestilah turut disertai dengan ketaqwaan.

Misalnya, seorang peniaga yang hanya berusaha mungkin mendapat untung mengikut sifir perniagaan biasa. Manakala peniaga bertaqwa memperolehi keuntungan berlipat ganda. Keuntungan berlipat ganda itu bukan semestinya dalam bentuk duit. Boleh jadi keuntungan yang diperolehi sama saja dengan orang lain. Tetapi bezanya, wang itu terselamat kerana anaknya sentiasa sihat, wangnya tidak membazir, keretanya jarang rosak, simpanan Tabung Hajinya banyak, duitnya juga sering tersalur ke arah amal jariah atau kepada berbagai bentuk kebajikan.

Seorang pendakwah bertaqwa pula, ilhamnya atau ideanya mencurah-curah, penyampaiannya berhikmah dan menarik, pendengar mudah lembut hati mendengar syarahannya, mendatangkan keyakinan, hati pendengar mudah terdorong untuk beramal. Biar pun dalam keadaan penentangan yang banyak, namun orang ramai terus mahukannya.

Pendakwah yang tidak bertaqwa pula, dia sendiri memaksa diri memerah otak mencari dan mengumpulkan bahan dakwah. Dalam menjalankan kerja dakwah juga dia merasa jemu dan terasa sukar. Pendengar juga turut merasa jemu. Walaupun bahasan dan hujahnya menarik dan mampu mengumpul ramai pendengar, namun tidak punya dorongan untuk menginsafkan dan membawa perubahan kepada masyarakat. Memanglah semua orang tahu hakikatnya perubahan itu dari Allah SWT. Namun Allah SWT jika hendak datangkan perubahan juga mestilah bersebab. Ketaqwaan para sahabat sehingga dijamin oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Terjemahannya: “Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antara kamu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebab- kan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.” (Al Anfal: 65)

Peperangan Badar menyaksikan 313 para sahabat mengalahkan 1000 orang musuh. Inilah jaminan Allah dalam firman-Nya:

Terjemahannya: “Allah menjadi pembela kepada orang yang bertaqwa.” (Al-Jaatsiyah: 19)

Dan firmanNya lagi:

Terjemahannya: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan bagi mereka jalan keluar. Dan memberi mereka rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.”
(At-Talaq: 2-3)

Dengan ketaqwaan mereka itu, orang lain turut menerima habuan, percikan dan limpahan berkat. “Wabihim yunsarun.” Dengan sebab mereka itu maka diturunkan bantuan.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (Saba’: 15)

Berkat dari ketaqwaan Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz r.a, maka kambing dan serigala boleh bergaul bersamasama.

JANJI ALLAH SWT KEPADA ORANG BERTAQWA


A      Keistimewaan Taqwa Di Dunia

1. Allah SWT bebaskan dari kesusahan dan memperolehi rezeki.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” (At-Talaq: 2-3)

2. Allah SWT mempermudahkan segala urusan.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.” (At-Talaq: 4)

3. Allah SWT mempermudahkan memperolehi ilmu.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan bertaqwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Baqarah: 282)

4. Allah SWT mengasihinya.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 76)

5. Allah SWT membela dan membantunya.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Allah adalah pelindung orangorang bertaqwa.” (Al-Jaatsiyah: 19)

6. Allah SWT buka pintu keberkatan.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.” (Al-A’raaf: 96)

7. Allah SWT terima amalan.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Maidah: 27)

8. Dipelihara Allah SWT dari tipu daya musuh lahir dan batin.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu-daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.” (Ali Imran: 120)

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” (Al A’raaf: 201)

9. Allah SWT beri khabar gembira (mubasyirah).

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janjijanji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus: 62-64)

10. Allah SWT pelihara zuriat

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (An Nisa’: 9)

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak muda yang yatim di kota itu, (dan di bawahnya) ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang soleh, maka Tuhanmu mengkehendaki agar mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.” (Al-Kahfi: 82)

11. Allah SWT selamatkan dari bencana.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan adapun kaum Tsamud maka mereka telah pun Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) dari petunjuk itu. Maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan, Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertaqwa.” (Fusshilat: 17-18)

12. Allah SWT pelihara dari kebatilan.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al-Anfaal: 29)


B  Keistimewaan Taqwa Di Akhirat

1. Allah SWT padamkan dosa.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Itulah perintah Allah yang diturunkan- Nya kepada kamu, barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan akan melipatgandakan pahala baginya.” (At-Talaq: 5)

Firman-Nya lagi:

Terjemahannya: “Dan sekiranya ahli kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan ke dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan.” (Al-Maidah: 65)

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan tidak ada seorangpun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami menyelamatkan orangorang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.” (Maryam: 71-72)

2. Allah SWT tinggikan darjat.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertaqwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari kiamat.” (Al Baqarah: 212)

3. Allah SWT wariskan syurga.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Maryam: 63) Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 133)

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Sesungguhnya bagi orangorang yang bertaqwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhan-Nya.” (Al- Qalam: 34)

4. Allah SWT dekatkan syurga.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan dekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertaqwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka).” (Al-Qaf: 31)

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “(Ingatlah) hari (ketika) Kami mengumpulkan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat.” (Maryam: 85)

5. Allah SWT sediakan syurga bertaraf tinggi.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Ini adalah kehormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik.” (Shaad: 49)

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan.”
(An-Naba’: 31)

6. Allah SWT tambat hati sesama mereka.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” (Az- Zukhruf: 67)

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga (tamantaman) dan (di dekat) mata air-mata air (yang mengalir). (Dikatakan kepada mereka): Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman. Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.” (Al- Hijr: 45-47)

7. Allah SWT kumpulkan mereka bersama-sama.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan dibawa ke dalam syurga berombongrombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” (Az Zumar: 73)

Semenjak dulu, inilah faktor yang membawa kepada bantuan Allah SWT di dalam segala usaha ikhtiar umat Islam. Terutamanya di kalangan para sahabat. Allah SWT buka pintu hati manusia sehingga mudah menerima kebenaran, mudah menerima Islam, mudah dalam perjuangan, Allah SWT buka laluan kepada perkembangan Islam yang pesat. Allah buka laluan dengan didatangkan para pendokong yang berkemampuan membangunkan umat.

Allah SWT buka pintu kebaikan seluas-luasnya. Allah SWT datangkan rasa berani yang luarbiasa kepada umat Islam dan rasa ketakutan yang amat sangat kepada para penentang. Biarpun Rasulullah SAW sendiri hingga patah giginya, dibaling batu hingga berdarah, namun ada saja jalan keluar yang Allah berikan sehingga 23 tahun berjaya menguasai Jazirah Arab.

Di zaman tabiin di mana golongan taqwa masih ramai dari tahap pemimpin hingga rakyat biasa, maka Allah SWT buka pula pintu ilmu pengetahuan dalam bidang kehidupan. Baghdad sebelum diranapkan oleh kaum Monggol merupakan tempat terkumpulnya kitab para ulama yang terlalu banyak. Ketika Barat melalui “Dark-Ages”, Islam pula sedang pesat berkembang dengan berbagai penemuan baru dalam ilmu pengetahuan. Padamnya “Dark-Ages” Barat bermula bila mereka mempraktikkan berbagai ilmu yang diperolehi hasil dari penjajahan ke wilayah Islam terutamanya Sepanyol.

Hasil bantuan Allah SWT sangat mengkagumkan dunia hingga segala kemajuan teknologi hari ini bertitik tolak dari penemuan berbagai ilmu oleh para ulama dan saintis Islam, tetapi itu semua telah berlalu, telah menjadi bukti dan fakta sejarah. Telah berlalu satu zaman di mana umatnya asyik dengan Allah SWT dan merindui akhirat. Berlalu juga satuzaman yang telah Allah SWT curahkan segala-galanya kerana kebanyakan umatnya bertaqwa.

Kini cuma ada zaman di mana umat Islam silau dengan pantulan cahaya Barat yang bukan cahaya hakiki. Cahaya kebenaran itu umpama matahari. Mengapa perlu silau dengan hanya pantulan cahaya itu sedangkan cahaya matahari tidak pernah padam. Ini kerana umat Islam sudah tidak bertaqwa. Bila tidak bertaqwa, hati menjadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas melupai Allah SWT. Hati tidak bergantung kepada Allah lantas Allah SWT melupainya.

Sepertimana tiada satu kuasa yang boleh menahan apabila Allah SWT kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak berdaya sebarang kuasa untuk menebus kekalahan dan kehinaan apabila Allah SWT kehendaki berlaku kepada umat Islam. Kedudukan taqwa memang penting bagi umat Islam. Sebab itu ia menjadi rukun khutbah. Setiap minggu peringatan taqwa dilaungkan oleh khatib kepada umat Islam di seluruh dunia. Namun kepentingan taqwa itu nampaknya bukan sahaia tidak dihayati malah kurang difahami pengertiannya oleh umat Islam. Pengertian yang tidak pernah ditinggalkan dan diulang-ulang setiap Jumaat hanyalah “Dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan.” Oleh kerana pengertian ini tidak mengandungi roh atau tidak membangkitkan pengertian yang mendalam, maka jadilah ianya sesuatu yang hambar dan tidak bermanfaat.   Sedangkan pengertian taqwa lebih dari itu. Taqwa berasal dari perkataan Waqa yang bermaksud pelihara. Orang yang bertaqwa ialah orang yang sangat memelihara hati (roh) dengan rasa kehambaan yang sangat mendalam dan rasa berTuhan yang sangat tinggi. Gabungan rasa kehambaan dan rasa berTuhan itu sekaligus mendorong ia agar sangat memelihara syariat, berakhlak dan beradab dalam segala urusan. Sehingga perkara yang seniseni dalam kehidupan pun sangat dipelihara.

Apabila terlalu sangat memelihara rasa kehambaan dan rasa berTuhan, sekaligus memelihara pula urusan kehidupan dengan bersyariat, berakhlak dan beradab sopan, maka menjadikan dia sebagai “orang Allah SWT”. Maka Allah SWT pula memelihara, membela dan menjaganya dalam segala urusan. Kerana berada di dalam pemeliharaan Allah SWT yang Maha Sempurna itulah maka kehidupan orang bertaqwa kelihatan luar dari kebiasaan orang lain, seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini berdasarkan dalam banyak firman Allah SWT.

ASAS TAQWA

Asas kepada sifat taqwa itu ialah rasa kehambaan yang sungguh mendalam. Rasa kehambaan, di antaranya merasai serba serbi dhaif, lemah, hina, lalai dan leka di sisi Allah SWT. Seseorang yang dapat benar-benar merasai bahawa dirinya dimiliki Allah. Dia tidak punya apa-apa. Dirinya sebagai hamba yang lemah itu sangat terdedah kepada berbagai kerosakan dan cacat cela. Tiada daya, tiada upaya, tidak mampu walaupun untuk menahan sehelai rambut dari beruban. Demikian juga perubahan peringkat usia dan kematian. Tidak mampu hendak berbuat menurut kehendak sendiri. Tidak mahu ditimpa sakit, ianya datang juga sekali-sekala. Inginkan kesembuhan segera, doktor juga tidak mampu berbuat demikian.

Inginkan kaya-raya dan hidup senang, sedikit sahaja orang yang berjaya memperolehinya. Bencikan musibah dan mala petaka, ianya datang juga tanpa diduga. Orang yang disayangi kadang-kadang hilang secara tiba-tiba. Harta-benda yang dikumpul musnah secara sekelip mata. Malah alam semesta ini pun dengan penuh sedar akan hancur lumat tanpa bersisa. Kita punya kehendak, Allah SWT pun punya kehendak. Kehendak Allah SWT juga yang pasti berlaku.

Menyedari hakikat inilah maka rasa kehambaan yang mendalam itu menjadikan hati penuh pasrah, merintih, mengharap dan mendambakan setiap sesuatu itu hanya dari Allah SWT. Andainya berlaku keberhasilan, maka itu juga sebenarnya atas kehendak Allah SWT jua. Jika dipuji, itu sebenarnya kerana Allah SWT gerakkan orang berbuat demikian. Bila dikeji juga adalah kerana Allah SWT gerakkan hati orang berbuat demikian yang dianggapnya sebagai kifarah.

Andainya Allah SWT pilih untuk ditinggikan kedudukan di dunia sebagai khalifah atau pemimpin, itu tidak menghilangkan rasa kehambaannya. Perbezaannya ialah ia terpaksa memikul tanggungjawab dan beban yang lebih banyak. Itu pun dia mengharapkan agar tanggungjawab atau jawatan itu menjadi saluran untuk berbakti kepada Allah SWT. Tidak lebih dari itu, dan tetap dirasai sama sahaja dirinya dengan petani dan nelayan yang menjadi saluran pahala bagi mereka.

CIRI-CIRI KETAQWAAN

1. Ingat dua perkara

Pertama: Kebaikan, jasa dan budi orang kepada kita perlu diingati selalu dan sekiranya berpeluang maka eloklah disebut-sebut dan dibalas walaupun tidak setimpal dengan apa yang kita perolehi. Lebih-lebih lagi perlu diingati, disyukuri, dihitung dan dibilang segala limpah kurnia Allah SWT, nikmat dari Allah SWT yang tidak terhingga.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Dan andainya kamu hendak hitung nikmat Allah SWT nescaya tidak terhitung.” (Surah Ibrahim: 34)

Terjemahannya: “Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur).” (Adh-Dhuha: 11)

Bagaimana hati kecil kita rasai andainya ada orang yang selalu menolong, membantu, memberi, berbudi dan berjasa kepada kita. Tentulah hati merasa terhutang budi dan berterima kasih. Begitulah fitrah kita merasakan memang wajar berterima kasih terhadap orang tersebut. Tentulah terhadap Allah SWT lebih-lebih lagi patut merasakan demikian kerana rahmat dan nikmat Allah SWT tidak terhingga. Memang patut mentaati Allah, bersyukur kepada Allah SWT melalui amal kebajikan. Biarpun segala amalan itu tidak mungkin setimpal dengan kurnia Allah SWT.

Sebagai menzahirkan tanda kehambaan serta kesyukuran maka Rasulullah SAW bangun malam menunaikan sembahyang hingga bengkak kaki kerana lamanya berdiri. Sedangkan Rasulullah SAW adalah maksum dan dijamin syurga oleh Allah SWT. Bagi orang yang merasai dirinya hamba dan mensyukuri Allah SWT, amal ibadat bukan soal syurga atau balasan pahala. Sedangkan nikmat sebelah mata pun tidak akan setimpal sekiranya seorang hamba itu hidup sejuta tahun dengan terus menerus beramal tanpa berhenti.

Cuba kita perhatikan secara lebih halus, teliti dan berseni, betapa tidak sedetik pun hidup ini tanpa nikmat Allah SWT, khususnya segala pemberian atau kurniaan Allah SWT yang tanpa diminta. Adanya kita tanpa diminta. Adanya hati, akal, nafsu dan perasaan tanpa diminta. Allah SWT sediakan pula Iman dan Islam tanpa kita minta. Allah SWT bentangkan seluruh alam semesta ini tanpa kita minta. Kelazatan bersuami isteri, lidah yang dapat merasai jutaan jenis rasa, keseronokan dan rasa indahnya kehidupan ini bukan kita yang menciptanya. Semua itu sangat besar nilainya.

Ditambah lagi dengan berbagai nikmat yang kita diizinkan mencarinya. Walaupun nilainya terlalu kecil, yang kadang-kadang dapat dan kadang-kadang gagal. Namun itu semua adalah anugerah Allah SWT juga. Orang yang bertaqwa tidak risau dan tidak menghabiskan waktunya memburu nikmat yang diminta dan dicari kerana nilainya terlalu kecil. Andainya tidak memilikinya tidak sampai kecewa, putus asa dan melupai atau derhaka kepada Allah SWT.

Kedua: Kesalahan kita kepada orang lain hendaklah sentiasa diingati dan memohon maaf kepada orang tersebut. Mengingati selalu tentang kesalahan diri itu agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Rasa bersalah itu sangat penting kerana itulah yang mendorong seseorang meminta maaf. Secara semulajadinya manusia ini, andainya kesalahan yang dilakukan, tidak memohon maaf maka dia sebenarnya sedang menghimpun seribu penderitaan dijiwanya.

Apabila memohon maaf dan dimaafkan maka terasa tenang seolah-olah duri yang sudah tercabut dari daging. Dosa-dosa dan kederhakaan kepada Allah SWT lebihlebih lagi perlu diingati dan dihitung selalu. Mengiringi ingatan kepada dosa itulah yang mendorong kepada bertaubat. Andaikan setiap hari kita berbuat sepuluh dosa, setahun ertinya berjumlah 3600 dosa. Bagaimana kalau dosa itu dikira dari usia 15 tahun dan hidup pada usia 65 tahun. Ini bererti dosa kita berjumlah 180,000. Pernahkah kita menghitung dosa?

Hampir tiada umat Islam yang mahu menghitung dosa harian. Kalaupun tidak sampai ke peringkat menghitung satu persatu, alangkah hebatnya umat Islam kalau mampu menghitung dosa secara rangkuman. Iaitu dia merasakan dosanya terlalu banyak seperti Imam Syafei yang merasakan dosanya banyak bagai butiran pasir yang tak terkira banyaknya. Inilah yang dikatakan hati orang bertaqwa.

2. Lupa dua perkara

Pertama: Di antara sifat buruk manusia ialah suka membangga dan mengungkit budi dan jasa. Adakalanya sampai ke peringkat satu penghinaan dan merendahkan darjat manusia apabila penonjolan jasa dan kebaktian itu terlalu berlebihan. Begitu jadinya di zaman manusia tidak mementingkan maruah, penghormatan dan harga diri. Si miskin meminta-minta, pihak yang memberi pula berbangga. Kembalikan segala kebaikan dan amalan kepada Allah SWT.

Amalan yang sedikit ini sebenarnya terlalu banyak cacat-celanya. Amalan yang memang sedia jauh dari tahap kesempurnaan itu dipadamkan pula oleh niat yang tidak ikhlas serta ujub atau sum’ah. Oleh itu, lupakan saja sama ada kebaikan kepada manusia dan lebih-lebih lagi segala amal ibadah kepada Allah SWT. Rasakan seolah-olah tidak beramal. Andainya datang juga lintasan dan kecenderungan untuk mengingati amal kebaikan maka padamkan dengan rasa kesyukuran kerana Allah SWT masih memberi pimpinan dan kekuatan sehingga ‘sudi memanggil’ kita untuk mentaatiNya.

Terjemahannya: “Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah SWT.” (Al Baqarah: 156)

Kedua: Di antara tanda kebaikan akhlak seseorang ialah tidak berdendam kepada sesiapa pun. Walaupun terhadap orang yang pernah melakukan kejahatan kepada dirinya. Untuk tidak berbunga sebarang dendam di hati ialah dengan cara melupakan terus segala perlakuan buruk orang lain itu. Anggaplah seolah-olah tiada siapa yang bersalah kepada kita. Melupakan kesalahan orang lain itu juga turut menghasilkan hubungan berkekalan dengan siapa pun. Dalam hubungan antara manusia dengan Allah SWT, maka lebih-lebih lagilah patut kita melupai segala kesusahan, ujian, musibah atau malapetaka yang menimpa kita.

Musibah dalam kehidupan manusia memang tidak dapat dihindari. Ada yang ditimpakan secara individu seperti sakit, kematian, kerugian, kemalangan, kegagalan dan sebagainya. Kedapatan pula musibah yang dirasai dan ditanggung bersama seperti banjir, kemarau, jerebu, ribut taufan, penyakit berjangkit, kemelesetan ekonomi dan seumpamanya.

Satu hakikat yang mesti kita akur dan akui bahawa musibah hanya datang sekali-sekala dan bersifat sementara. Tidak wajar kita selaku hamba terlalu keluh-kesah, mendongkol dan menyebut-nyebut kesusahan yang datang sekali- sekala itu. Sedangkan rahmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada makhluk-Nya sangat luas. Nikmat-Nya yang kita kecapi tidak terhingga dan tidak putus-putus. Alangkah tidak beradabnya kita apabila nikmat yang tidak putus-putus itu sering dilupai dan tidak disebut langsung. Manakala kesusahan yang bersifat sementara dan sekalisekala itu yang terlalu sangat dipandang besar.

Kalau kita sendiri pun, tentu hati kecil kita merasa tidak senang sekiranya anak yang dijagai dan dibelai dengan penuh perhatian, tiba-tiba meradang kerana sedikit kesulitan yang dialaminya. Tambahan pula kesulitan yang menimpa hamba itu mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Kadangkala tidak terjangkau oleh akal kita menyelami yang tersirat di sebaliknya. Namun begitu, musibah yang Allah SWT datangkan ada dua maksud iaitu sama ada untuk penghapusan dosa atau kalau tidak berdosa untuk peningkatan darjat di sisi Allah SWT. Ini hanya tercapai dalam keadaan sabar dan redha menghadapinya serta dilupainya seolah-olah tiada sebarang kesusahan yang berlaku.

3. Menyukai apa yang disukai Allah SWT.

Memang menjadi pengalaman bersama iaitu kita akan berbuat apa yang kita sukai. Malah dalam keadaan tertentu kita sanggup tidak mempedulikan orang lain demi keasyikan memberi tumpuan kepada apa yang kita sukai. Seorang remaja yang menyukai seorang gadis sehingga boleh ke peringkat tidak mengendahkan perasaan orang lain termasuk ibubapanya. Seorang yang sangat mendalam minat dan kesukaannya bermain burung pula, sehingga kadangkala terabai anak isteri.

Bagi orang bertaqwa yang rasa kehambaannya sangat mendalam, kesukaannya selari dengan kesukaan Allah SWT dan Rasul-Nya. Orang yang tidak bertaqwa kesukaannya caca merba, haru-biru, bercelaru dalam kekeliruan sehingga tidak dapat dibezakan yang mana satu kesukaan nafsu taraf rendah dan yang mana satu kesukaan Allah SWT.

Untuk mencapai darjat taqwa, maka umat Islam patut meletakkan kesukaannya selaras dengan kesukaan Allah SWT. Semakin mendalam suka dan cintanya terhadap apa yang dicintai Allah SWT, maka semakin tinggi taqwa seseorang itu. Manifestasi dari kecintaan dan kesukaan itu, maka orang bertaqwa melakukan apa sahaja perbuatan dan amalan menurut apa yang disukai Allah SWT. la tidak mengira atau tidak mempersoalkan sama ada sesuatu amalan itu kecil atau besar. Baginya bukan soal kedudukan hukum wajib atau sunat. Bukan soal ranting yang dipandang remeh temeh oleh orang lain. Baginya itulah kesukaannya kerana semata-mata sesuatu amalan itu dicintai oleh Allah SWT.

Walaupun begitu, darjat taqwa itu disukat bukan pada amalan itu sahaja tetapi terletak pada sejauhmana mendalamnya rasa cinta kerana sesuatu dicintai Allah SWT. Ertinya, kalau dua orang memakai serban yang kedudukannya sunat, sama-sama berniat ikhlas tetapi nilai taqwa seorang di antaranya akan menjadi lebih tinggi kerana kecintaan yang amat sangat kepada sunnah Rasulullah SAW itu kerana Allah SWT mencintainya.

Contoh yang paling masyhur mengenai perbezaan kedudukan taqwa itu seperti pengorbanan Sayidina Abu Bakar yang berkuantiti sedikit tetapi berhabis-habisan hingga tiada lagi yang tinggal. Sedangkan Sayidina Umar kuantitinya lebih banyak tetapi hanya separuh daripada hartanya. Sedikit harta Sayidina Abu Bakar itu lebih tinggi nilainya selain dari beliau sendiri kehabisan harta, ditambah pula dengan mendalamnya kecintaan kepada pengorbanan itu kerana dicintai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya dengan mengikrarkan bahawa cukup baginya Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Zaman para sahabat yang mengiringi Rasulullah SAW masih merupakan zaman turunnya bantuan Allah. Allah SWT membela dan membantu umat Islam dalam segala aspek dan dalam berbagai bentuk. Ketika itu rata-rata para sahabat sangat mementingkan taqwa. Mereka sangat menyukai amalan taqwa itu. Bukannya soal mendapat pahala. Malah kalau menurut kajian ilmiah mengenai hukumhakam, zaman para sahabat masih belum ada penyusunan kedudukan hukum-hakam itu secara tersusun. Sekalipun para sahabat tahu membezakan sesuatu amalan itu fardhu atau sunat, namun mereka mengamalkan keseluruhannya. Mereka tidak mementingkan kedudukan fardhu atau sunat. Mereka tidak mempersoalkan kategori fardhu atau sunat. Mereka merasakan, sebagai seorang hamba perlu meletakkan diri mereka selari dengan tuntutan dan kesukaan Allah SWT.

Memang jelas mengapa umat kini tidak dibela dan dibantu oleh Allah SWT kerana tidak layak dan tidak cukup syarat. Bukan sahaja amalan sunat yang memang dipandang remeh dan diperleceh begitu sahaja, malah amalan fardhu pun terlalu culas, cuai dan sambil lewa. Tidak langsung memperlihatkan sikap dan sifat kehambaan. Amalan sunat pula lebih cenderung berpegang kepada kedudukan “buat dapat pahala, tinggalkan tidak berdosa.” Dalam soal sunat ini tidak ada pula sikap positif berbanding hal-hal berkaitan keuntungan duniawi yang seringkali memilih keuntungan walaupun sekiranya tidak dilakukan tidak rugi.

Misalnya mengapa memilih bersikat rambut sedangkan kalau dibiarkan tidak mengapa? Alasannya orang pandang tidak elok. Mengapa memilih memakai alat solek bagi wanita sedangkan kalau tidak dipakai tidak mendatangkan apa-apa kerugian? Tidak memakai stokin dan tali leher pun tidak menjadi apa-apa kerugian. Namun rata-rata berbuat demikian untuk dipandang menarik. Mengapa perlu berperabut dalam rumah? Malah kadang-kadang padat memenuhi ruang rumah dengan berbagai perabut pilihan yang dipandang istimewa. Berbuat perkara sunat itulah yang menjadi sebab Allah SWT ‘pandang’ sebagai hamba yang dikasihi dan sudi untuk membela umat.

Apa kaitannya kemenangan dalam peperangan denqan sugi, saf sembahyang dan solat tahajjud. Namun inilah yang berlaku apabila Sayidina Umar mendapati keadaan tenteranya sesudah berminggu-minggu di medan perang tanpa keputusan. Sepatutnya mengikut kelaziman, tentulah kelengkapan perang, taktik dan kegigihan tentera yang perlu dikaji selidik. Tetapi itulah yang menjadi punca bantuan Allah SWT tidak datang lantaran sudah mula mengabaikan sunnah Rasulullah SAW. Apalah yang diharapkan dari umat yang sudah terlalu melihat nilai material dan fizikal berbanding spiritual termasuk para pejuang Islam. Akhirnya, berjuanglah dengan sekuat tenaga tanpa bantuan dari Allah SWT. Dalam situasi demikian antara dua ‘platform’ ini, bertarung hanya bergantung kepada kekuatan lahiriah sememangnya dari dulu umat Islam tidak berupaya mengatasi musuh. Namun dalam keadaan serba-serbi kekurangan itu pula, Allah SWT menzahirkan kekuasaan-Nya yang tidak ada kuasa mampu melawan-Nya. Allah SWT memberi kemenangan untuk umat Islam.

4. Membenci apa yang dibenci Allah SWT.

Sifat semulajadi fitrah manusia ialah menyisihkan apa saja yang dibencinya. Sama ada bau, bunyi, rasa hatta orang sekalipun. Sebab itu berlaku suami menceraikan isteri, isteri lari meninggalkan suami dan anak-anak lari dari rumah. Biasanya perkara yang dibenci itu tentunya yang tidak menarik, buruk, busuk, tidak sedap atau mendatangkan mudarat. Inilah kebiasaan fitrah manusia. Namun realitinya banyak perkara yang sifatnya begitu namun masih tetap disanjung, dipuja dan dicari oleh manusia. Misalnya, rokok membahayakan kesihatan. Dadah mengsengsarakan men47 tal dan fizikal. Pembaziran merosakkan kehidupan. Hiburan berlebihan melalaikan, membuang masa dan melenyapkan daya penumpuan. Apatah lagi dosa dan maksiat yang menjadikan seseorang itu mengalami tekanan jiwa kerana ‘guilty conscious’.

Terjadi ini semua sangat bercanggah dengan fitrah. Pelakunya menentang fitrahnya sendiri kerana dikuasai kerakusan nafsu. Sememangnya fitrah secara bersendirian tidak sepenuhnya berkemampuan menolak keinginan nafsu. Ianya mesti disuburkan dengan rasa berTuhan yang kuat, serta rasa kehambaan yang mendalam. Seorang hamba kepada tuan tidak berbuat sesuatu yang ditegah dan dibenci oleh tuannya. Maka begitulah hamba yang ingin mencapai darjat taqwa yang tinggi sentiasa meletakkan kebenciannya selari dan selaras dengan apa yang dibenci Allah SWT.

Umat Islam terlalu berpegang kepada kategori hukum hingga menghilangkan ketaqwaan. Misalnya, menganggap remeh terhadap dosa kecil atas alasan Allah SWT gugurkan melalui titisan air wudhuk. Tetapi kita tahukah apakah dosa-dosa itu telah digugurkan. Sedangkan kuasa mutlak adalah milik Allah SWT. Ini yang dikatakan ketiadaan rasa kehambaan. Sedangkan Rasulullah SAW menegaskan melalui sabda baginda:

Terjemahannya: “Jangan pandang kecilnya dosa, tetapi pandanglah kepada siapa yang kamu derhakai.” (Riwayat At Thausi).

Sayidina Umar Ibnu Khattab apabila melepaskan keberangkatan tenteranya beliau berpidato, “Bertaqwalah kepada Allah dan aku lebih takuti dosa kamu berbanding musuh. Allah menangkan kamu kerana musuh itu derhaka kepada Allah. Apabila kamu juga turut berdosa seperti mereka, maka Allah lepaskan kamu. Yang akan menang adalah siapa yang kuat di antara kamu.”

Selagi umat Islam tidak berusaha keras bertaubat dan membersihkan diri dari dosa, maka selagi itulah jauh dari sifat taqwa dan Allah SWT tidak menurunkan bantuan kerana kederhakaan kepada Allah SWT. Allah SWT benci kepada umat yang terlalu banyak berbuat dosa termasuk perkara makruh. Kita semua tahu perbuatan makruh walaupun tidak berdosa, namun Allah SWT membencinya. Betapalah berleluasanya berbagai dosa dan maksiat di kalangan umat.

Rasulullah SAW bersabda: Terjemahannya: “Tiada seorang hamba ditimpa musibah baik di atasnya maupun di bawahnya melainkan sebagai akibat dosanya.” (Al Hadis)

Allah SWT berfirman:

Terjemahannya: “Musa berkata: Dan apakah (kamu akan me1akukan itu) kendatipun aku tunjukkan kepadamu sesuatu (keterangan) yang nyata?” (Asy-Syu’araa: 30)

Mungkin sebahagian umat masih belum jelas bagaimana pengaruh dosa bernatijahkan tidak datangnya bantuan Allah SWT. Seringkali umat Islam bersandarkan kepada logik. Lantaran tidak dapat dibuktikan dengan logik, maka tidak diterimanya. Sedangkan bukan semua perkara logik itu benar dan bukan semua perkara benar itu logik. Sikap orang bertaqwa yang terbaik ialah menerima apa-apa yang datang dari Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai kebenaran walaupun tidak dapat dilogikkan. Salah satu peringatan Rasulullah SAW mengenai bantuan Allah SWT ialah dalam sabda Baginda SAW:

Terjemahannya: “Tiada suatu yang menolak takdir kecuali doa, dan tiada yang menambahkan umur kecuali kebajikan. Sesungguhnya seseorang diharamkan rezeki baginya disebabkan dosa yang dilakukannya.” (Riwayat Tirmizi dan Hakim)

Rezeki bukan hanya harta benda tetapi termasuk ilmu, kesejahteraan dan kedamaian. Dosa menjadi sebab terhalang dari turunnya rezeki daripada Allah SWT. Bagaimana kuatnya pengaruh membenci apa yang dibenci Allah SWT, mari kita lihat sabda Rasulullah SAW yang meletakkan orang yang melihat maksiat dalam keadaan sangat benci kerana Allah SWT membencinya sehingga diletakkan setaraf orang yang tidak hadir dalam majlis maksiat. Manakala orang yang tidak melihat maksiat atau tidak berada dalam satu majlis maksiat tetapi dengan merelai, menyukainya atau merinduinya sekira-kira kalau dia turut hadir, nescaya akan turut serta, maka dia dikira seperti melihatnya.

Rasulullah SAW bersabda:

Terjemahannya: “Apabila sesuatu kesalahan diperbuat di muka bumi maka orang yang melihatnya dan membencinya seolah-olah tidak hadir di tempat itu, dan orang yang tidak melihat perbuatan tersebut tetapi merelainya seolah-olah dia melihatnya.” (Riwayat Abu Daud)

Ketinggian taraf taqwa seseorang diukur pada sejauh mana mendalamnya rasa benci di hati terhadap setiap apa yang dibenci oleh Allah SWT. Malah Allah SWT mengampuni dosa hamba-Nya yang ada dalam hatinya rasa benci tersebut dan tidak diampuni kerana kelazatan, keangkuhan dan kebanggaan terhadap dosa walaupun dosa kecil.

JALAN TAQWA

Untuk mencapai tahap ketinggian taqwa perlu menempuh jalannya yang tepat. Mesti diusahakan bersungguhsungguh kerana memang sudah menjadi sunnatullah, sesuatu yang bernilai tinggi sukar diperolehi. Namun begitu lumrahnya manusia mengidamkan sesuatu yang mahal dan bernilai tinggi. Sudah semestilah terpaksa melipat-ganda- kan usaha untuk memperolehinya. Batu sungai yang tidak bernilai itu pun tidak bergolek sendiri ke pangkuan tanpa usaha ikhtiar. Apatah lagi untuk memperolehi intan berlian.

1. Mendapat petunjuk dari Allah SWT

Allah SWT berfirman:

Terjemahannya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki untuk diberi petunjuk, dilapangkan hatinya menerima Islam.” (Al-An’am: 125)

Ini sebagai ketukan pintu hati dari Allah SWT iaitu dia merasa seronok, minat, sayang, suka dan terhibur dengan Islam. Kalau awal-awal lagi sudah merasakan berat hati untuk menerima Islam, itu tandanya jauh dari petunjuk Allah SWT. Terbuka hati dan merasa suka dengan ajaran Islam itu menjadi pendorong awal untuk memahami ajaran Islam.

2. Faham tentang Islam

Rasulullah SAW bersabda:

Terjemahannya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan ke atasnya, maka dia akan diberi faham tentang Islam.”

Tahu dan faham adalah dua keadaan yang berbeza. Tahu tentang berbagai ilmu Islam ibarat orang yang memiliki emas seguni yang tersimpan berketul. Faham tentang Islam pula ialah ibarat emas seguni itu diproses bertukar menjadi berbagai jenis dan bentuk barang perhiasan. Barang perhiasan itu menjadi cantik, menarik, indah dan harganya pula menjadi lebih mahal. Orang memandangnya lebih bernilai dan sering menjadi idaman untuk memilikinya. Terpukau orang melihatnya dan sanggup bersusah-payah untuk memilikinya.

Faham tentang Islam itu merangkumi, semua aspek. Faham zahir batinnya, rohnya, yang tersurat dan tersirat. Faham pula bagaimana hendak memperjuangkannya. Amalan orang yang faham Islam ini biasanya akan berbuah iaitu akhlak. Buah itulah natijah akhir dari susah-payah menanam pokok. Akhlak itu pula merangkumi akhlak terhadap Allah SWT dan akhlak kepada sesama manusia.

3. Yakin

Setelah seronok menerima Islam diiringi pula dengan faham, maka mestilah pula diyakini sungguh-sungguh. Keyakinan ini yang mendorong umat Islam berpegang teguh dan diperjuangkan. Umat yang teguh keyakinannya akan terus dengan keazaman yang kuat, cita-cita yang tinggi serta berkorban habis-habisan demi kemuliaan Islam. Lantaran lemahnya keyakinan, maka jihad hampir mati. Kerana berjuang ertinya berkorban. Berkorban ertinya ada sesuatu yang terkorban dalam hidup.

Misalnya, kalau tidak berjuang mungkin seseorang itu mampu memiliki rumah atau kereta atau saham atau tanah atau perniagaan atau ‘privacy’ hidup atau ‘leisure time’ yang banyak. Semua itu terpinggir dari kehidupan kerana terkorban demi perjuangan. Kalau tidak yakin dengan janji Allah SWT bakal memperolehi kemenangan atau balasan syurga, sanggupkah umat Islam berbuat demikian? Realiti membuktikan tidak sanggup kerana sedikit sangat yang berjuang hingga ke peringkat demikian. Kadang-kadang berlaku sebaliknya. Semakin terlibat dengan apa yang didakwa kononnya perjuangan, bermula dari rumah murah akhirnya ke rumah banglo dengan kereta mewah dua tiga buah.

Perjuangan dan pengorbanan lazim melazimi. Kalau berjuang tetapi tiada sesuatu yang terkorban, maka bukan perjuangan namanya. Ini yang sering ditakuti. Umat Islam takut kepada kemiskinan kerana perjuangan sehingga pihak yang berbuat demikian dianggap melampau atau ekstremis. Akhirnya, jadilah Islam ini yatim piatu tanpa pembela. Islam tersisih di mana-mana. Ini juga satu petanda lemahnya keyakinan. Apakah kita sangka buruk dengan Allah SWT bahawa siapa yang berjuang akan papa kedana. Sedangkan terbukti dalam sejarah umat Islam melalui saat gemilang adalah hasil dari titik peluh dan tumpahan darah pengorbanan para sahabat. Lagi pun, di sudut lain andainya benarlah kerana agama Allah SWT maka terpaksa papa kedana apa salahnya. Bukankah itu yang pernah ditempuh oleh para sahabat? Mereka yang telah merelakan diri mereka susah, sengsara, menderita dan terkorban, maka Islam berkembang hingga sampai kepada kita.

Sikap terbaik bagi umat Islam ialah memperteguhkan keyakinan termasuk bersangka baik terhadap Allah SWT yang Maha Suci dari segala cacat-cela. Tiap-tiap sesuatu kejadian semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Teguh keyakinan menjadikan umat Islam seronok dan terhibur dengan perjuangan dan bukan sebaliknya iaitu berjuang mencari seronok dan hiburan. Orang yang seronok dan terhibur dengan perjuangan biar bagaimana keadaan, dia menghadapinya seperti Hari Raya. Manakala orang yang berjuang mencari seronok dan hiburan akan terseksa dan putus asa apabila ditimpa ujian. Laluan sukar akan sedaya- upaya dihindari. Kalau bertembung juga dengan kesukaran cepat-cepat dia mundur dan menyerah kalah. Atau dianggapnya kesulitan perjuangan sebagai bala bencana.

Lemah keyakinan ini yang membuatkan umat Islam lupa bahawa mereka yang paling berat ditimpa sengsara perjuangan ialah Rasulullah SAW sendiri. Sedangkan Baginda adalah kekasih Allah SWT dan pembawa sinar kebenaran dan rahmat untuk sekelian alam. Cuba kembali menyingkap satu persatu sejarah para Rasul. Semuanya dimusuhi, diburu, dipulau, dihalau, menjadi pelarian, dibakar, dibunuh dan diperangi. Orang yang memilih jalan selamat atau hanya ‘play-safe’ dalam menempuh perjuangan memang tidak wajar turut serta membangun umat. Namun demikian kalau semua orang memilih jalan ini, sampai bila pun umat Islam tidak akan berjaya.

4. Melaksanakan

Hindarilah agar jangan jadikan ilmu dan kefahaman Islam sebagai ‘mental exercise’. Umat Islam sudah terlalu banyak berteori, berslogan, bercakap, berforum dan berseminar. Banyak masa telah terbuang kepada berbagai perkara yang tidak praktikal. Pada umumnya umat Islam memang telah terlalu banyak membuang masa dengan sia-sia seperti lepak, berfoya-foya, rendah penghasilan kerja, tidak produktif, banyak berseronok dan berhibur. Jangan ditambah lagi oleh kelompok pejuang yang turut membuang masa tanpa perlaksanaan.

Sabda Rasulullah SAW:

Terjemahannya: “Tanda kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara sia-sia.”

Ambil satu contoh, ramai sudah para ulama dan intelek Islam mengadakan perbahasan dan dialog dengan pihak agama lain. Hasil bahasan itu, semuanya memihak kepada Islam. Jelas bahawa Islam itulah agama yang benar. Ditambah pula dengan pidato konkrit yang turut juga memperjelaskan kebenaran Islam. Namun bertali arus juga dari kalangan umat Islam yang murtad kerana keluar atau bertukar kepada agama lain. Mengapa terjadi demikian?

Mereka walaupun kalah hujah, tewas berbahas, namun mereka terus aktif membangun rumah kebajikan, membantu masyarakat pedalaman, menghulurkan bantuan perubatan, membasmi buta huruf. Mereka tinggal bersamasama dengan masyarakat, sedia mendengar rintihan dan keluhan masyarakat dan seterusnya menolong menyelesaikan masalah bagi yang menghadapinya. Mereka tidak bercakap atau mempromosikan ajaran agama mereka melalui retorika yang muluk muluk. Di atas khidmat masyarakat itu maka ramai yang tertarik.

Sepatutnya umat Islam ini berbuat apa yang termampu lebih dahulu. Mulakan perubahan dari diri, keluarga, anakisteri dan terus berkembang ke dalam masyarakat. Bermulalah, biarpun kemampuan hanya pada peringkat ritual. Namun jangan terbantut sekadar itu saja kerana Islam itu syumul merangkumi segala aspek kehidupan.

5. Bermujahadah

Hidup ini satu perjuangan. Terutamanya dalam usaha menegakkan kebenaran. Pertarungan ini sengaja Allah SWT jadikan untuk menguji manusia. Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Aku jadikan mati dan hidup untuk melihat siapa yang lebih baik amalannya.” (Al Mulk: 2)

Tiada suatu apa pun di dunia itu ‘survival’nya tanpa cabaran. Pokok di rimba sekalipun terpaksa bersaing untuk melepaskan pucuk masing-masing. Buah yang elok pun terpaksa terlebih dahulu berdepan dengan serangga, ulat dan perubahan cuaca. Apatah lagi manusia yang perlu menghadapi cabaran dalam mencapai kejayaan. Namun Allah SWT Maha Adil. Bagi yang berjaya disediakan pula syurga yang penuh nikmat.

Umat Islam perlu memahami hakikat ini. Lebih-lebih lagi perlu menyedari bahawa musuh paling utama dalam pertarungan ini bukannya Amerika atau Yahudi atau musuh lahiriah lain. Musuh lahiriah ini hanya mengancam sekali-sekala dan boleh dilihat dengan nyata. Itupun seringkali terjadi gagalnya menghadapi musuh lahir dan putarbelit serta umpanan mereka berpunca dari umat Islam yang tewas kepada nafsu sendiri terlebih dahulu.

Mengapa salahkan musuh yang memang itulah kerja mereka? Menyalahkan musuh tidak membawa umat Islam ke mana-mana. Menyalahkan musuh tidak mendatangkan sebarang kesan kepada mereka. Mengapa tidak salahkan diri kerana gagal membina benteng keimanan yang teguh yang mampu menundukkan nafsu dan syaitan. Agar dengan itu menjadi orang bertaqwa yang dibela oleh Allah SWT.

Apabila kita mula melangkah menuju kebaikan, di situ baru kita tahu betapa sukar dan susahnya berhadapan dengan berbagai halangan dan rintangan yang datangnya dari syaitan dan nafsu sendiri. Mari kita bertanya secara jujur, dewasa ini masih ramai umat Islam yang tidak sembahyang, tidak menutup aurat, bergelumang dengan riba, terlibat dengan gejala negatif, dadah, arak, judi, buang bayi, bermusuhan, tindas menindas. Angkara Amerikakah semua itu? Yahudikah yang menyekat kita untuk bersembahyang? Amerikakah yang menyogok remaja kita dengan dadah? Yahudikah yang memaksa para wanita membuka aurat? Amerikakah yang menganjurkan agar para remaja berpusu-pusu ke pesta dan konsert?

Amerika dan Yahudi itu sekadar bertindak umpama burung gagak. Di mana ada bangkai, di situlah gagak berkerumun. Atau seperti burung engriang, di mana ada haiwan yang hampir mati engriang akan tolong percepatkan kematian dengan beramai-ramai mematuk haiwan itu. Selagi belum menjadi bangkai, gagak tidak berani hampiri. Selagi segar-bugar, hidup dengan tangkas dan gagah, engriang tidak berani hendak mematuk.

Untuk menuju ketaqwaan yang tinggi perlu umat Islam bermujahadah melawan nafsu. Melawan nafsu ini tiada garisan penamat kecuali mati kerana tingkat-tingkat ketaqwaan itu juga bersifat infiniti. Lazimkan dengan bersungguh- sungguh untuk menunaikan tuntutan hidup selari dengan kehendak Allah SWT dan menolak kejahatan yang dimurkai Allah SWT. Pada peringkat awal memanglah terasa berat dan menyakitkan. Namun apabila terus-menerus dikekang kemahuan nafsu, dikeraskan keazaman, dikuatkan cita-cita, dilawan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT, akhirnya akan menjadi terbiasa, ringan dan menyeronokkan.

Tiada suatu yang mudah kecuali yang Allah SWT permudahkan. Apabila kita berusaha bersungguh-sungguh nescaya Allah SWT membuka jalan dan ruang ke arah mencapai kejayaan.

Firman Allah SWT:

Terjemahannya: “Mereka yang berjuang kerana menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuki jalan Kami.” (Al-Ankabut: 69)

6. Istiqamah beramal

Rasulullah SAW bersabda: Terjemahannya: “Amalan yang disukai Allah SWT ialah yang berkekalan meskipun sedikit.” (Riwayat Bukhari)

Melaksanakan ajaran Islam ini tidak boleh bermusim dan juga jangan turun naik atau didorong oleh semangat semata. Amalan yang istiqamah walaupun sedikit atau amalan yang kecil saja akan memberi kesan kepada roh seseorang. Ibarat titisan air yang lembut, batu yang keras pun menjadi lekuk. Sebaliknya banjir yang datang sekalisekala tidak dapat melekukkan batu.

7. Ada pemimpin

Pemimpin adalah orang yang mencorak, membentuk dan mendidik hati dan pemikiran manusia. Hati dan pemikiran yang dicorak dan dibentuk oleh pemimpin itulah tercetusnya sikap dan tindak-tanduk. Pemimpin komunis membentuk hati dan pemikiran rakyatnya. Maka tercetuslah sikap dan tindak-tanduk dan pembawaan rakyatnya sebagai komunis. Perompak mencorak dan membentuk hati dan pemikiran pengikutnya hingga lahirlah pasukan perompak.

Untuk membawa umat Islam ini menjadi orang yang bertaqwa yang mereka itu benar-benar mengamalkan Islam, maka perlu pemimpin yang mampu mencorakkan hati umat agar beriman dan pemikiran umat agar murni dan dapat mencetuskan idea untuk membangunkan umat Islam. Tercorak dan terbentuk hati dengan iman, pemikiran pula dipenuhi ilmu wahyu maka terbinalah keperibadian mukmin yang sebenarnya. Keperibadian mukmin akan jelas tertonjol dari dirinya, rumahtangga, masyarakat dan diiringi pula bakal lahir tamaddun Islam.Di sinilah perlunya kehadiran pemimpin yang mampu membawa umat ini ke arah ketaqwaan dan mampu mendidik nafsu umat agar tunduk denqan kehendak Allah SWT.

8. Selalu berdoa

Selalulah merintih, mengharap dan memohon pimpinan Allah SWT. Sesungguhnya usaha ikhtiar kita semua tidak memberi bekas. Memohonlah kepada Allah SWT dengan sepenuh hati. Merintihlah kepada Allah SWT yang Maha Mendengar bisikan hati hamba-Nya dan Allah SWT yang berjanji pasti menunaikan permintaan hamba-Nya. Mengharaplah kepada Allah SWT dalam keadaan diri merasai sebagai hamba yang serba dhaif yang tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya.

Apalah yang ada pada kita. Andainya Allah SWT cabut hidayah, hilanglah segala-galanya. Dan tiada siapa yang dapat memberi atau mengembalikan hidayah itu. Tiada seorang pun hatta para Nabi dan Rasul termasuk Rasulullah SAW sendiri tidak berupaya sehingga bapa saudaranya sendiri Abu Talib mati dalam kekafiran. Di sinilah sepatutnya menjadi iktibar penting umat Islam. Demikianlah juga dalam usaha untuk mencapai darjat taqwa yang tinggi, sangat perlu bergantung hati kepada Allah SWT, mengharap dan memohon petunjuk dari pimpinan-Nya. Tiada suatu yang mudah kecuali yang dipermudahkan oleh Allah SWT. Beruntunglah bagi siapa yang Allah SWT permudahkan.
Powered by Blogger.

Blog Archive

Contact

we would really love to hear from you

Contactinfo

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt.

quis nostrud exercitation ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat.

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum

Lorem ipsum dolor 123

1000 Lorem ipsum